TARIKAN PELANCONGAN BAHARU DI KEDAH


15tarikan
KUBANG PASU 15 November - Bagi golongan ibu bapa yang mahu melihat kegembiraan dan senyuman lebar di wajah anak-anak, anda disyor­kan untuk membawa keluarga berseronok di Taman Tema Air Fantasia yang baru dibuka di Tasik Darul Aman, Jitra, dekat sini.
Berkeluasan kira-kira 1.2 hektar, taman tema air tersebut yang dimiliki sepenuhnya oleh Bina Darulaman Berhad (BDB), menjanjikan suasana ceria dalam persekitaran yang selamat de­ngan rata-rata permainan dan tempat mandi direka khas untuk memenuhi imaginasi kanak-kanak serta mendatangkan kese­ronokan kepada remaja.
Menurut Pengarah Urusan Kum­pulan BDB, Datuk Izham Yusoff, tarikan pelancongan terbaru di utara negeri Kedah itu sehingga kini menerima sambutan cukup menggalakkan daripada orang ramai.
“Kami baru memulakan operasi pada 2 November lalu dan dalam tempoh tidak sampai 10 hari, dianggarkan seramai 7,000 pengunjung sudah hadir ke sini.
“Angka itu merupakan petanda yang baik dan kami sememangnya mengharapkan untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke sini pada masa akan datang,” katanya.
Berpeluang berkunjung ke taman tema air itu baru-baru ini, sesuatu yang menarik untuk dilihat adalah usaha BDB membina banyak permainan air seperti gelongsor serta meriam air yang boleh dimainkan secara selamat oleh kanak-kanak termasuk mereka yang berada di bawah usia tujuh tahun.
Keadaan itu membantu me­ngelakkan rasa kecewa dalam kalangan anak-anak yang tidak dibenarkan bermain permainan tertentu, hanya disebabkan oleh saiz tubuh mereka yang kecil seperti pernah dialami di taman-taman tema air lain.
Selain itu, antara penekanan yang diberi adalah berhibur sambil belajar di mana beberapa persembahan berbentuk informatif disediakan buat para pe­ngunjung dalam tempoh masa tertentu.
Antara yang menarik perhatian adalah bagaimana kisah seorang kanak-kanak lelaki bernama Adam yang tersesat dalam koloni haiwan-haiwan comel sehingga membolehkannya belajar banyak perkara mengenai kehidupan dan alam sekitar.
Di situlah anda akan lihat bagaimana anak-anak kecil berasa teruja untuk bertemu empat maskot utama Taman Tema Air Fantasia iaitu Rara (ladybird), Beebee (lebah), Emut (semut) dan Ram (rama-rama) yang bersedia melayan kehendak pe­ngunjung untuk bergambar.
Mengenai bayaran masuk pula, pihak BDB mengenakan harga yang cukup berpatutan iaitu dewasa hanyalah RM15 sementara untuk kanak-kanak (RM12) dan warga emas (RM10).
Begitu juga dengan kos menyewa almari penyimpanan barang iaitu serendah RM5. Selain itu, penjualan makanan di 'Kafe Rara' turut disediakan secara 'kombo' bagi memberi lebih nilai kepada pembeli.
Buat mereka yang berhajat untuk mengadakan sebarang majlis seperti hari keluarga atau sambutan hari lahir, terdapat ruang makan khas eksklusif untuk anda disediakan di tingkat atas sekali gus membolehkan anda memantau keadaan anak-anak yang sedang bermain di seluruh kawasan taman tema air tersebut.
Sementara itu Izham memaklumkan, pihaknya bercadang untuk menambah lebih banyak permainan di taman tema air tersebut dalam tempoh dua tahun lagi.
“Apa yang anda lihat hari ini adalah fasa pertama di mana tumpuan lebih diberikan kepada permainan untuk kanak-kanak dan remaja.
“Untuk fasa kedua, sebanyak lima lagi gelongsor akan dibina yang memberi lebih keseronokan kepada golongan dewasa," katanya.
Tambahnya, kewujudan Taman Tema Air Fantasia itu membantu menambahkan lagi pilihan kepada pengunjung yang memi­lih untuk beriadah di Tasik Darul Aman.
“Setelah puas bermandi-manda, para pengunjung boleh terus menikmati keindahan tasik sambil melakukan aktiviti santai seperti berkayak, berbasikal atau menaiki kereta buggy,” jelasnya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan