18sedia
KUBANG PASU 18 November - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru agar rakyat bersedia untuk menghadapi Revolusi Perin­dustrian Keempat (Industri 4.0) yang kini menjadi agenda kerajaan dan negara.
Baginda bertitah, revolusi ter­sebut memudahkan manusia­ de­­ngan bantuan robotik, namun­ persediaan perlu dilakukan kerana pekerjaan dan kehidupan mereka akan dikuasai teknologi tersebut.
“Profesor Klaus Schwab melalui bukunya yang bertajuk, The Fourth Industrial Revolution menjelaskan bahawa Revolusi Perin­dustrian Keempat sebenarnya berbentuk siber fizikal.
“Ini kerana aplikasi robot ber­kembang selaras dengan artificial intelligence dan kesepaduan internet of things yang merangkumi pelbagai perisian dan peralatan. Ini mencetuskan era pertembu­ngan kepintaran antara manusia dan robot,” titah baginda hari ini.
Terdahulu dalam Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen Ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, Sultan Sallehuddin berkenan menerima pelantikan sebagai Canselor UUM Ketiga bagi menggantikan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mang­kat pada 11 September lalu.
Watikah pemasyhuran baginda sebagai Canselor UUM dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Titah Sultan Sallehuddin, ma­syarakat Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi Industri 4.0 dan sistem pendidikan perlu disusun selari dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan mengambil tindakan proaktif untuk memastikan ekosistem pendidikan tinggi negara terus terjamin. Menerusi Bajet 2018, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) meng­umumkan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi berjumlah RM13.89 bilion, pe­ningkatan sebanyak 13.15 peratus berbanding RM12.28 bilion pada 2017.
“Kementerian Pendidikan Ting­gi sedang merangka dasar pen­didikan tinggi agar Malaysia berdaya saing dan menjadi hab di rantau Asia Tenggara kepada Revo­lusi Perindustrian Keempat ini,” titah baginda.
Baginda bertitah, pelaburan besar dalam penyelidikan dan pem­bangunan perlu dilakukan me­nerusi gabungan serta kerjasama oleh pihak universiti dan industri.
Sementara itu Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapan­nya berkata, UUM bakal menubuhkan Kursi Profesor Sultan Abdul Halim sebagai usaha mengenang jasa dan sumbangan Almarhum yang menjadi Canselor UUM selama 30 tahun.
“Penubuhan kursi tersebut di­­letakkan di bawah Pusat Pe­ngajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz untuk membangunkan penyelidikan dan memacu penerokaan ilmu dalam bidang tadbir urus.
“Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mengambil inisiatif meng­hulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM2 juta sebagai dana permulaan penubuhan kursi profesor tersebut,” katanya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan


15pinjaman
ALOR SETAR 15 November - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini mengumumkan pinjaman sebanyak RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf lima loji rawatan air (LRA) di kawasan luar bandar di negeri ini pada kadar segera.
Beliau berkata sekiranya menunggu kelulusan geran (berbanding pinjaman) ia akan mengambil masa sekali gus melambatkan kerja naik taraf berkenaan sehingga boleh menyebabkan masalah bekalan air semasa musim perayaan di negeri ini akan terus berulang.
“Pinjaman kedua untuk lima loji itu RM1 bilion. Pinjaman ini kerana untuk kita segerakan projek ini dengan cepat. Kalau hendak cepat kita kena pinjam dahulu daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbelanjaan Negeri 2018 di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.
Untuk rekod lima loji air itu adalah LRA Pelubang, LRA Jenun Baharu, LRA Bukit Selambau, LRA Sungai Limau dan LRA Lubuk Buntar Lama.
Ahmad Bashah berkata, pinjaman berkenaan merupakan kali kedua kerana kerajaan negeri sudah membuat pinjaman sebanyak RM1.2 bilion bagi tujuan membina LRA sebelum ini.
Beliau berkata, sehubungan itu Kerajaan Negeri akan berusaha membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan supaya menukarkan pinjaman itu dalam bentuk geran selepas ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata kerajaan negeri mengakui perlu membelanjakan peruntukan yang besar untuk memastikan pasukan bola sepak Kedah terus mencapai kejayaan yang gemilang pada masa depan.
“Hasrat kerajaan kita nak Lang Merah terus melangkah ke taraf profesional dalam jangka masa panjang...kerana untuk mengurus sesebuah pasukan bukan mudah dan perlu perbelanjaan yang besar
“Namun pada masa sama kita juga perlu untuk dapatkan sumbangan pihak swasta dan GLC sebab kita melihat sesuatu yang boleh membawa kejayaan demi kejayaan kepada skuad Lang Merah,” katanya. Dewan bersidang lagi esok.
Sumber : Sinar


15tarikan
KUBANG PASU 15 November - Bagi golongan ibu bapa yang mahu melihat kegembiraan dan senyuman lebar di wajah anak-anak, anda disyor­kan untuk membawa keluarga berseronok di Taman Tema Air Fantasia yang baru dibuka di Tasik Darul Aman, Jitra, dekat sini.
Berkeluasan kira-kira 1.2 hektar, taman tema air tersebut yang dimiliki sepenuhnya oleh Bina Darulaman Berhad (BDB), menjanjikan suasana ceria dalam persekitaran yang selamat de­ngan rata-rata permainan dan tempat mandi direka khas untuk memenuhi imaginasi kanak-kanak serta mendatangkan kese­ronokan kepada remaja.
Menurut Pengarah Urusan Kum­pulan BDB, Datuk Izham Yusoff, tarikan pelancongan terbaru di utara negeri Kedah itu sehingga kini menerima sambutan cukup menggalakkan daripada orang ramai.
“Kami baru memulakan operasi pada 2 November lalu dan dalam tempoh tidak sampai 10 hari, dianggarkan seramai 7,000 pengunjung sudah hadir ke sini.
“Angka itu merupakan petanda yang baik dan kami sememangnya mengharapkan untuk menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke sini pada masa akan datang,” katanya.
Berpeluang berkunjung ke taman tema air itu baru-baru ini, sesuatu yang menarik untuk dilihat adalah usaha BDB membina banyak permainan air seperti gelongsor serta meriam air yang boleh dimainkan secara selamat oleh kanak-kanak termasuk mereka yang berada di bawah usia tujuh tahun.
Keadaan itu membantu me­ngelakkan rasa kecewa dalam kalangan anak-anak yang tidak dibenarkan bermain permainan tertentu, hanya disebabkan oleh saiz tubuh mereka yang kecil seperti pernah dialami di taman-taman tema air lain.
Selain itu, antara penekanan yang diberi adalah berhibur sambil belajar di mana beberapa persembahan berbentuk informatif disediakan buat para pe­ngunjung dalam tempoh masa tertentu.
Antara yang menarik perhatian adalah bagaimana kisah seorang kanak-kanak lelaki bernama Adam yang tersesat dalam koloni haiwan-haiwan comel sehingga membolehkannya belajar banyak perkara mengenai kehidupan dan alam sekitar.
Di situlah anda akan lihat bagaimana anak-anak kecil berasa teruja untuk bertemu empat maskot utama Taman Tema Air Fantasia iaitu Rara (ladybird), Beebee (lebah), Emut (semut) dan Ram (rama-rama) yang bersedia melayan kehendak pe­ngunjung untuk bergambar.
Mengenai bayaran masuk pula, pihak BDB mengenakan harga yang cukup berpatutan iaitu dewasa hanyalah RM15 sementara untuk kanak-kanak (RM12) dan warga emas (RM10).
Begitu juga dengan kos menyewa almari penyimpanan barang iaitu serendah RM5. Selain itu, penjualan makanan di 'Kafe Rara' turut disediakan secara 'kombo' bagi memberi lebih nilai kepada pembeli.
Buat mereka yang berhajat untuk mengadakan sebarang majlis seperti hari keluarga atau sambutan hari lahir, terdapat ruang makan khas eksklusif untuk anda disediakan di tingkat atas sekali gus membolehkan anda memantau keadaan anak-anak yang sedang bermain di seluruh kawasan taman tema air tersebut.
Sementara itu Izham memaklumkan, pihaknya bercadang untuk menambah lebih banyak permainan di taman tema air tersebut dalam tempoh dua tahun lagi.
“Apa yang anda lihat hari ini adalah fasa pertama di mana tumpuan lebih diberikan kepada permainan untuk kanak-kanak dan remaja.
“Untuk fasa kedua, sebanyak lima lagi gelongsor akan dibina yang memberi lebih keseronokan kepada golongan dewasa," katanya.
Tambahnya, kewujudan Taman Tema Air Fantasia itu membantu menambahkan lagi pilihan kepada pengunjung yang memi­lih untuk beriadah di Tasik Darul Aman.
“Setelah puas bermandi-manda, para pengunjung boleh terus menikmati keindahan tasik sambil melakukan aktiviti santai seperti berkayak, berbasikal atau menaiki kereta buggy,” jelasnya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan


15jual
ALOR SETAR 15 November - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mahu Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menjual tiket untuk semua perlawanan akhir secara dalam talian bagi mengelak berlakunya masalah ketika penjualan dibuat di stadium.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar berkata, langkah tersebut akan menyelesaikan masalah penjualan tiket tidak teratur di stadium atau peminat menyalahkan persatuan apabila gagal mendapat tiket seperti yang berlaku ketika final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 November lalu.
“Kami akan merayu kepada FMLLP untuk mempertimbangkan cadangan ini.
“Kami akan menggesa FMLLP untuk menjual semua tiket bagi perlawanan akhir secara dalam talian,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sesi debat Bajet 2018 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
Aminuddin yang juga Setiausaha Kehormat KFA, akan meminta mesyuarat majlis eksekutif KFA untuk membincangkan cadangan itu sebelum mengemukakannya kepada FMLLP untuk dipertimbangkan.
Beliau berkata ribuan peminat yang marah telah menyerbu pejabat KFA untuk melepaskan kemarahan dan menuduh persatuan tidak telus dalam isu jualan tiket selepas gagal mendapatkan tiket untuk final Piala Malaysia baru-baru ini.
Aminuddin menegaskan, KFA telus dalam penjualan tiket perlawanan it, malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri ada menempatkan pegawainya di kaunter bagi mengelakkan penipuan berlaku.
“KFA terima kuota 30,000 tiket dan 8,000 daripadanya dijual di kaunter kepada peminat. Bakinya pula dijual melalui tempahan membabitkan 400 bas dengan jangkaan 44 peminat di setiap bas, selain kepada pertubuhan bawah KFA, “ katanya.
Sumber : Utusan


15mangsa
ALOR SETAR 15 November - Hujan lebat berterusan sejak petang semalam memaksa seramai 127 penduduk daripada 49 keluarga di sekitar Changlun dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu Kamarulzaman Kasa berkata PPS itu dibuka pada 3 pagi tadi setelah beberapa kawasan rendah di beberapa kampung mula dinaiki air.
“Hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan air Sungai Temin mula melimpah sehingga lebih kurang 50 rumah antaranya di Kampung Belukar dinaiki air,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Katanya sejurus menerima laporan, APM menggerakkan 30 anggotanya bagi membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan secara berperingkat.
Turut terlibat dalam operasi tersebut ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat, anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pasukan Tindakan Awal Kecemasan Komuniti (CDERT-C).
Sumber : Sinar


14dijangka
ALOR SETAR 14 November - Kolej Universiti Insaniah (Kuin) hanya perlu meme­­nuhi satu lagi syarat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi membolehkan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu dinaik taraf menjadi universiti penuh.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, satu syarat yang masih diusahakan Kuin adalah bilangan pelajar antarabangsa perlu mencapai 20 peratus.
“Daripada lima syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan Ting­gi, hanya satu masih belum dipenuhi. Pada masa ini, kita mempunyai enam peratus pelajar antarabangsa. Kita memerlukan kira-kira 300 pelajar antarabangsa bagi mencapai 20 peratus yang ditetapkan kementerian.
“Apabila syarat ini dipenuhi, dijangka awal Januari ini pihak pe­ngurusan Kuin akan memajukan permohonan pendaftaran universiti dengan mendaftarkan nama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishamas),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Md. Zuki Yusof (Pas-Kuala Ketil) mengenai status terkini Kuin berhubung permohonannya mendapatkan status universiti penuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Tajul Urus berkata, Kuin melepasi empat daripada lima syarat iaitu kursus yang mengalami masalah pematuhan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dapat mengekalkan status akreditasi penuh dan tahap kebolehpasaran graduan mencapai 70 peratus.
“Selain itu, 80 peratus kakitangan akademik berkelulusan sarjana dan 30 peratus daripada kos operasi ditempatkan untuk tujuan penyelidikan dan pemba­ngunan (R&D),” katanya.
Bagi mencapai jumlah 20 peratus jumlah pelajar antarabangsa, Tajul Urus memberitahu, Kuin menjalankan beberapa langkah termasuklah meluluskan pakej penawaran istimewa dengan kadar diskaun 50 peratus yuran bagi sembilan program pasca-siswazah.
“Pakej penawaran istimewa itu hanya terbuka sehingga 300 pelajar antarabangsa. Kuin juga merancang strategi promosi ke Selatan Thailand dan Indonesia pada hujung Oktober lalu dan awal November ini dan me­nerima 115 pelajar dari Selatan Thailand serta 108 pelajar dari Indonesia bagi kursus peringkat sarjana dan doktor falsafah (PHD),” katanya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan