PINJAMAN RM 1b NAIK TARAF LIMA LRA


15pinjaman
ALOR SETAR 15 November - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini mengumumkan pinjaman sebanyak RM1 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaiktaraf lima loji rawatan air (LRA) di kawasan luar bandar di negeri ini pada kadar segera.
Beliau berkata sekiranya menunggu kelulusan geran (berbanding pinjaman) ia akan mengambil masa sekali gus melambatkan kerja naik taraf berkenaan sehingga boleh menyebabkan masalah bekalan air semasa musim perayaan di negeri ini akan terus berulang.
“Pinjaman kedua untuk lima loji itu RM1 bilion. Pinjaman ini kerana untuk kita segerakan projek ini dengan cepat. Kalau hendak cepat kita kena pinjam dahulu daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbelanjaan Negeri 2018 di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.
Untuk rekod lima loji air itu adalah LRA Pelubang, LRA Jenun Baharu, LRA Bukit Selambau, LRA Sungai Limau dan LRA Lubuk Buntar Lama.
Ahmad Bashah berkata, pinjaman berkenaan merupakan kali kedua kerana kerajaan negeri sudah membuat pinjaman sebanyak RM1.2 bilion bagi tujuan membina LRA sebelum ini.
Beliau berkata, sehubungan itu Kerajaan Negeri akan berusaha membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan supaya menukarkan pinjaman itu dalam bentuk geran selepas ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata kerajaan negeri mengakui perlu membelanjakan peruntukan yang besar untuk memastikan pasukan bola sepak Kedah terus mencapai kejayaan yang gemilang pada masa depan.
“Hasrat kerajaan kita nak Lang Merah terus melangkah ke taraf profesional dalam jangka masa panjang...kerana untuk mengurus sesebuah pasukan bukan mudah dan perlu perbelanjaan yang besar
“Namun pada masa sama kita juga perlu untuk dapatkan sumbangan pihak swasta dan GLC sebab kita melihat sesuatu yang boleh membawa kejayaan demi kejayaan kepada skuad Lang Merah,” katanya. Dewan bersidang lagi esok.
Sumber : Sinar