TABUNG DARAH SEMAKIN KRITIKAL




    12derma
    ALOR SETAR 12 Julai – Tabung darah di negeri ini berada pada paras yang agak kritikal iaitu bawah 500 pain ekoran penggunaan yang meningkat dalam tempoh sambutan Aidilfitri.
    Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, kumpulan darah yang kritikal ialah daripada jenis A dan B
    “Stok darah amat perlu dipertingkatkan melebihi 800 pain dalam tempoh terdekat. Ini perlu bagi memastikan bekalan dalam keadaan stabil.
    “Untuk meningkatkan kutipan, Pusat Darah Wilayah Utara (PDWU) dan tabung darah di hospital seluruh Kedah turut giat mengusahakan program pendermaan darah,” katanya di sini hari ini.
    Sehubungan dengan itu, tambah Norhizan, pihaknya menyeru agar orang ramai tampil menderma darah dalam usaha menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
    “Jasa orang ramai untuk menderma darah di hospital terdekat amat dialu-alukan,” katanya.
    Menurut beliau, PDWU bertanggungjawab mengumpul semua kutipan darah bagi seluruh Kedah terdiri daripada sembilan hospital dan juga sebuah hospital di Perlis.
    “PDWU akan mengumpul ke­semua kutipan darah daripada 10 hospital untuk kegunaan di hospital-hospital tersebut.
    “Status sekarang iaitu paras tabung darah di bawah 500 pain mengambilkira stok bagi keseluruhan Kedah dan Perlis,” katanya.
    Sumber : Utusan