TAK TAHU CARA MOHON BANTUAN



24tak
ALOR SETAR 24 Jun - Golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan mengemis untuk hidup diminta hadir ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah berdekatan untuk proses permohonan bantuan.
Penyelaras Ops Menyelamat Pengemis JKM Kota Setar, Zaharuddin Mohd Taher berkata, pihaknya sering menerima alasan kalangan peminta sedekah mendakwa tidak tahu cara mendapatkan bantuan kewangan mengikut kaedah betul menyebabkan mereka mengemis.
“Malah dalam operasi Isnin lalu, kita menemui seorang lelaki berusia lingkungan 50 tahun yang sanggup datang sejauh 87 kilometer (km) dari Kulim ke Bandaraya Alor Setar untuk meraih simpati orang ramai.
“Apabila disoal dia mendakwa baru meminta sedekah pada bulan Ramadan demi mendapatkan wang, dan memaklumkan tidak tahu bagaimana untuk memohon bantuan,” katanya.
Katanya, untuk kes seperti itu, kita nasihatkan lelaki berkenaan hadir ke pejabat berdekatan untuk proses siasatan dan permohonan bantuan bersesuaian.
Terdahulu, lelaki yang mempunyai keluarga dan kediaman dibebaskan selepas diberikan amaran dalam Ops pengemisan dan kempen bijak membantu elak tertipu di Bazar Ramadan Stadium Darul Aman.
Katanya, lelaki itu tak sempat meraih simpati pengunjung bazar kerana baru tiba di lokasi ketika ditahan kakitangan JKM.
“Melalui siasatan awal, kita dapati dia tidak menerima bantuan, bagaimanapun dia mengambil kesempatan dengan meminta sedekah pada bulan puasa ini,” katanya.
Untuk itu, katanya, dia dinasihatkan hadir ke pejabat JKM berhampiran kediamannya di Kulim untuk tindakan lanjut.
Dalam operasi sama, katanya, beberapa individu lain yang turut sama meminta sedekah sekitar kawasan terbabit bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran JKM.
Menurutnya, pihaknya memandang serius aktiviti meminta sedekah, malah melakukan pemantauan dan pemerhatian dari semasa ke semasa bagi membanteras gejala itu.
Dalam perkembangan lain, katanya, kakitangan JKM Kota Setar turut mengedarkan risalah kempen bijak membantu elak tertipu kepada peniaga dan pengunjung bazar tersebut.
Katanya, kempen diadakan untuk membuka mata dan memberi kesedaran kepada orang awam supaya berhati-hati memberi sedekah agar tidak terpedaya dengan taktik peminta sedekah.
"Ada peminta sedekah yang dikesan merupakan penerima bantuan JKM, maka tindakan mereka meraih simpati umum dengan meminta wang adalah satu penipuan.
“Orang ramai boleh beri wang, tetapi bukan kepada peminta sedekah. Mereka boleh salur ke institusi atau rumah kebajikan,” katanya.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar