HARGA IKAN KEMBALI STABIL APRIL INI



7harga
ALOR SETAR 7 Mac - Harga ikan kembung yang meningkat mendadak akibat musim tengkujuh dijangka kembali kepada harga normal sekitar RM10 apabila bekalan ikan pulih pada awal April ini.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kedah (Nekad), Ahmad Rudin Hussain berkata, aktiviti pendaratan ikan dilihat makin meningkat sejak akhir-akhir ini, sekaligus menambah stok bekalan ikan musim ini.
“Berdasarkan tinjauan, aktiviti pendaratan semakin meningkat. Jadi, kita rasa bekalan ikan dijangka akan kembali pulih antara seminggu ke dua minggu lagi.
“Kebelakangan ini, nelayan pulang dengan hasil tangkapan ikan, dan aktiviti pendaratan juga dilihat berjalan lancar memandangkan keadaan cuaca makin baik,”katanya.
Katanya, harga ikan kembung naik mendadak akibat faktor cuaca tidak menentu sehingga mencecah RM22 untuk sekilogram (kg) disebabkan nelayan tak dapat ke laut.
Dalam pada itu katanya, Nekad mengambil inisiatif menjual ikan kembung sejuk beku bagi membantu pengguna ketika kenaikan mendadak berlaku itu.
Ahmad Rudin berkata, mereka menjual harga ikan kembung antara RM10 dan RM11 untuk sekilogram (kg) melalui Program Jualan Ikan Rakyat Kepada Rakyat di beberapa kawasan.
Katanya, harga ikan ditawarkan lebih murah sebanyak 50 peratus di beberapa kawasan, seperti Felda Sungai Tiang, Padang Pusing, Kubur Panjang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Kuala Kedah.
Katanya, kawasan dipilih setiap kali berbeza mengikut hari dan tempat demi memberi peluang kepada penduduk tempatan mendapatkan bekalan ikan murah.
“Esok (hari ini), lori khas yang memuatkan bekalan ikan berkenaan akan bergerak ke kawasan Bukit Jenun, Pendang, untuk membolehkan pengguna mendapatkan ikan kembung pada harga patut itu,” katanya.
Katanya, pengguna dinasihatkan bersabar kerana harga ikan kembung akan pulih tidak lama nanti, memandangkan trend pendaratan makin meningkat sejak awal bulan Mac.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar