DAPAT RUMAH BAHARU SEBELUM AIDILADHA



    10september
    GUAR CHEMPEDAK 10 September - Pasangan warga emas dari Kampung Guar Stesen di Jalan Jenun, di sini, gembira menerima rumah baharu sebelum sambutan Aidiladha tahun ini.
    Yaakob Ismail, 66, dan isterinya, Rahmah Ismail, 59, kehilangan tempat tinggal akibat kediaman lamanya musnah dalam kebakaran pada tahun lalu.
    Kesusahan warga emas itu mendapat perhatian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah apabila dipilih sebagai calon bagi projek pembinaan semula rumah terbakar di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ketujuh.
    Projek yang dilaksanakan kerajaan di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi JBPM Kedah yang memperuntukkan sebanyak RM40,000.
    Rumah yang dibina semula dengan kekuatan enam anggota bomba mempunyai dua bilik dilengkapi dengan dapur, bilik air dan ruang tamu itu mula dibina pada 1 Jun lalu dan siap sepenuhnya pada 31 Julai lalu. Rumah itu turut dilengkapi keperluan asas seperti sofa, meja makan dan katil.
    Majlis penyerahan kunci disempurnakan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim di Kampung Guar Stesen Jalan Jenun, di sini, petang kelmarin.
    Terdahulu, Rahmah berterima kasih kepada pihak JBPM kerana impiannya untuk mendapatkan rumah baharu yang lebih selesa tercapai, sekali gus menamatkan kesukaran dilalui akibat terpaksa hidup menumpang di rumah anak yang terletak berdekatan.
    “Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menyiapkan rumah baru ini, terutamanya anggota bomba yang bertungkus-lumus membina rumah ini hingga siap.
    “Saya dan suami yang berstatus orang kurang upaya (OKU) langsung tidak ada perancangan untuk bina rumah baru kerana tidak mampu kerana ia melibatkan kos tinggi, lagipun pendapatan suami tidak menentu dan menyara keluarga bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
    Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM, Ahmad Izram Osman berkata, sepanjang tahun ini, JBPM akan membina dan membaik pulih semula 138 rumah milik individu kurang berkemampuan di seluruh negara melalui NBOS ketujuh.
    Sumber : Sinar