TUNGGU ANALISIS KANDUNGAN AIR SUNGAI BIRU


13tunggu
ALOR SETAR 13 Februari - Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Kedah/ Perlis / Pulau Pinang (JMG KPP) perlu mendapatkan keputusan analisis kimia makmal sebelum membuat kesimpulan berkaitan kejadian sungai biru.
Pengarah JMG KPP, Azhari Ahmad berkata, pihaknya masih menunggu keputusan sampel air sungai biru yang dihantar untuk ujian lanjut sebelum ini.
"Apabila kita dapat keputusan makmal, barulah kita dapat menentukan kandungan dalam air sungai biru dan puncanya sama ada asli ataupun sumbangan bahan lain.
"Jadi, kita perlu tunggu untuk memperolehi keputusan ujian sampel air itu dahulu sebelum membuat sebarang rumusan. Selepas itu, barulah fikirkan tindakan selanjutnya," katanya.
Terdahulu, beliau ditemui Sinar Harian ketika pemerhatian kali kedua JMG KPP sekitar sungai biru berdekatan Gunung Keriang, di sini, semalam.
Turut serta, Pegawai Geosains JMG KPP, Nur Susila Md Saaid.
Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa air sungai biru yang menjadi tular di laman sosial Facebook tidak boleh dijadikan minuman.
Menurut Azhari, pihaknya bimbang pengunjung sungai biru mengambil air sungai biru untuk diminum ataupun sebarang tujuan lain.
"Selagi, tidak mendapat keputusan mengenai bahan terkandung dalam air sungai biru. Kita harap orang awam tidak mengambil air sungai biru untuk tujuan apapun. Tak kira samada diminum, dimandi ataupun kegunaan domestik lain," katanya.
Pada Rabu lepas, Ketua Pegawai Geosains, Hamdan Ariffin bersama seorang pengawai geosains dan pembantu pegawai geosains melakukan kajian kimia lapangan di sekitar sungai biru.
JMG KPP mendapati air sungai biru memiliki nilai PH rendah, iaitu 3.0, yang mana kandungan air berasid dan tidak selamat diminum jika berpandukan standard Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).
Berdasarkan kajian kimia lapangan itu, air berwarna biru menunjukkan nilai PH rendah sekitar 2.9 hingga 3.5, manakala bagi air yang tidak biru memiliki nilai PH sekitar 5.5, iaitu hampir normal.
Sebelum ini, kawasan sungai biru yang turut dikenali sebagai 'Blue Lagoon' menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar untuk selepas tular di media sosial.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar