RM48 JUTA LAKSANA PROJEK KKLW


14rm
SUNGAI PETANI 14 Februari - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM48.1 juta untuk melaksanakan 19 Projek Quick Win iaitu projek yang perlu dilaksanakan segera bagi pembangunan kawasan luar bandar dan wilayah di negeri ini.
Exco Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, kesemua projek bersifat ‘titik sentuhan’ itu dilaksanakan bermula Januari lepas hingga Mei ini.
“Daripada RM48,1 juta itu, sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek ameniti sosial dan jalan perhubungan desa manakala sebanyak RM11.3 juta diagihkan untuk projek baik pulih rumah dan pembinaan rumah baharu di negeri ini.
“Sementara itu, RM465,000 lagi diperuntukkan bagi melaksanakan dua projek di bawah Felcra (Felcra Berhad), RM4.6 juta diagihkan kepada Risda (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) yang membabitkan pelaksanaan dua projek serta RM21.7 juta lagi melalui Keda (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) melibatkan 11 projek,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan projek itu di Pejabat Risda Daerah Kuala Muda/Yan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Tajudin yang turut meluangkan masa melawat pusat jualan produk usahawan Risda atau RisSMart berkata, lebih ramai pekebun kecil Risda diharap dapat melibatkan diri dengan aktiviti ekonomi tambahan untuk membolehkan mereka mendapat pendapatan sampingan.
“Pekebun kecil boleh terlibat dalam aktiviti keusahawanan, penternakan, perladangan, ataupun membuka bengkel kereta dan motosikal, selain hanya tertumpu kepada hasil getah.
“Risda kini mempunyai kedai sendiri yang berperanan memasarkan produk-produk seperti makanan, kraftangan dan sebagainya yang dihasilkan pekebun kecil, dan peluang ini harus direbut oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata, kedai yang baru beroperasi sejak dua minggu lalu itu menempatkan lebih 10 produk yang diusahakan lapan pekebun kecil Risda.
Sumber : Sinar