D'AMAN MART SASAR 1000 RAKAN NIAGA


4D
ALOR SETAR 4 Februari - Kerajaan negeri menerusi Kedah Agro Holdings me_nyasarkan untuk mempunyai 1,000 rakan niaga D’ Aman Mart menjelang akhir tahun ini bagi menjayakan program Kos Sara Hidup Rakyat yang menawarkan 100 jenis barangan ke­perluan harian pada harga lebih murah.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pasar raya milik Perbadanan Menteri Besar Kedah dengan kerjasama syarikat Prolink Marke­ting Sdn. Bhd. itu menawarkan potongan harga antara lima hingga 15 peratus bagi barang-barang keperluan harian terpilih.
“Konsep D’ Aman Mart ini tidak jauh beza dengan KR1M (Kedai Rakyat 1Malaysia). Di pasar raya ini, pengguna boleh dapat poto­ngan harga antara lima hingga 15 peratus bagi 100 jenis barang ke­perluan seperti minyak masak, roti, beras dan tepung (bagi jenama-jenama tertentu) yang ditampal pelekat D’ Aman Mart.
“Bagi memperluaskan program Kos Sara Hidup Rakyat ini, D’ Aman Mart merancang untuk mempunyai 1,000 rakan niaga atau kedai runcit bagi memboleh­kan pengguna di seluruh negeri ini membeli 100 barangan keperluan pada harga murah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan D’ Aman Mart serta melancarkan program Kos Sara Hidup Rakyat di pekarangan D’ Aman Mart, Pusat Perniagaan Shahab Utama di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Kedah Agro Holdings Berhad, Datuk Ahmad Zaini Japar dan Pegawai Eksekutif Prolink Marketing Sdn. Bhd., K. Chandran.
Menurut Ahmad Bashah, sehingga kini terdapat kira-kira 200 kedai runcit di seluruh negeri yang sudah menjadi rakan niaga D’ Aman Mart.
“Kita mahu menggalakkan le­bih ramai peruncit yang sudah menjalankan perniagaan di ne­geri ini untuk menjadi rakan niaga D’ Aman Mart. Pelbagai manfaat yang boleh diperoleh mereka apabila menjadi rakan niaga D’ Aman Mart.
“Antaranya, mereka boleh menawarkan 100 barangan keperluan terpilih pada harga lebih murah untuk menarik pengguna datang ke kedai. Pada masa sama, peruncit yang menjadi rakan niaga D’ Aman Mart juga boleh mengambil bekalan (100 barangan keperluan terpilih) dahulu dan membuat bayaran dalam tempoh 30 hari,” ujarnya.
Tambahnya, pengguna turut mendapat pelbagai manfaat apabila mendaftar menjadi ahli Sahabatku termasuk berpeluang mendapat mata ganjaran apabila berbelanja di D’ Aman Mart.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan