BANTUAN PESAWAH DIBAYAR MULAI MAC


5bantuan
ALOR SETAR 5 Februari - Seramai 57,000 pesawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan menerima manfaat bantuan pesawah RM200 sebulan mulai pertengahan Mac depan.
Pengerusi Mada, Datuk Othman Aziz berkata, bantuan RM200 sebulan kepada pesawah di kawasan Mada terlibat melibatkan peruntukan sebanyak RM34 juta.
"Pemberian bantuan RM200 sebulan itu diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 demi membantu meringankan beban pesawah dalam tempoh menunggu hasil tuaian.
"Untuk itu, pesawah diharapkan bersabar kerana masing-masing akan menerima bantuan wang RM200 sebulan pada waktu bersesuaian tidak lama nanti," katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi Musim 1/2018 di Ibu Pejabat Mada Ampang Jajar, di sini, semalam.
Othman berkata, Mada dijangka akan membuat bayaran bantuan bulanan kepada pesawah bagi tanaman padi musim 1/2018 mulai pertengahan Mac hingga April nanti.
Katanya, bantuan berkenaan diberikan demi membantu pesawah menampung perbelanjaan dan menyara keluarga bagi tempoh tiga bulan sementara mereka menunggu hasil tuaian padi.
Tambah beliau, pembayaran bantuan RM200 ini akan diberikan Mada kepada pesawah mengikut Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing.
"Jadi, kita minta pesawah merujuk dengan PPK samada nama mereka berdaftar dengan pertubuhan itu demi memastikan tiada nama yang terlepas pandang," katanya.
Menurut beliau, pesawah disarankan berbuat sedemikian segera demi mengelakkan pesawah yang tidak mengusahakan bendang yang mendapat bantuan itu.
Katanya, pihak Mada ingin memastikan individu sepatutnya mendapat bantuan pesawah akan menerima bayaran wang RM200 itu, dan begitulah sebaliknya.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar