TAJA BUKAN JAMINAN DAPAT PROJEK


image192
ALOR SETAR 15 Januari - Kerajaan negeri tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam pemberian tender mahupun pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini, termasuk memberi keutamaan kepada syarikat penaja.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya terbuka menerima kemasukan mana-mana pelabur yang dilihat berpotensi dan berkelayakan.
“Syarikat yang menaja atau pelabur tertentu tidak dapat keistimewaan dalam agihan projek. Kita buka tawaran kepada sesiapa sahaja yang berminat membuat pelaburan di Kedah. Kita tidak pernah tutup pintu kepada mana-mana pelabur,” katanya, seusai majlis perjumpaan amanat tahun baharu bersama warga Wisma Darul Aman, semalam.
Menurutnya, pelabur yang berminat sama ada dari dalam mahupun luar negara dialu-alukan mengemukakan kertas cadangan membangunkan negeri ini untuk dipertimbangkan.
“Kalau ada syarikat tertentu terpilih, dia bijak ambil peluang melabur di Kedah, tak perlu buat tuduhan tak berasas, disebabkan syarikat itu aktif jalankan beberapa projek di negeri ini,” katanya.
Ahmad Bashah berkata demikian ketika mengulas dakwaan syarikat ECK Development Sdn Bhd, selaku penaja utama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang dikatakan membolot sebahagian besar projek di negeri ini sejurus menaja pasukan Lang Merah.
Dakwaan itu mula diperkatakan apabila beberapa gambar Pengarahnya, Puan Seri Ginney Chew bersama wakil kerajaan negeri meninjau beberapa tapak projek tersebar. Terbaharu, beberapa gambar beliau dan wakil syarikat pemaju hartanah itu bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Kulim dan Yan, turut tular.
Mengulas perkara itu, Ahmad Bashah berkata, syarikat ECK mengambil kesempatan atas kunjungan Johari ke Kedah baru-baru ini untuk memberikan taklimat berhubung projek pembangunan miliknya di Kulim, iaitu Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Desaku.
“Tak semestinya semua projek syarikat itu akan dapat sebagai habuan taja KFA. Selain lawatan ke Kulim, syarikat itu turut mengikuti lawatan ke Yan. Ia bukan suatu kesalahan untuk mana-mana syarikat perniagaan meninjau prospek projek di negeri ini, ini kemahiran orang berniaga,” katanya.
Menurutnya, peluang sama rata dibuka kepada semua syarikat pelabur kerana kerajaan negeri mengamalkan sikap terbuka.
“Dalam konteks perniagaan, proposal projek yang terbaik dipertimbangkan. Jika sesuai kita sedia beri kerjasama,” katanya.
Ahmad Bashah turut menepis tohmahan kononnya ECK menuntut sebuah pulau di kepulauan Langkawi sebagai ganjaran menaja pasukan Lang Merah.
“Mana-mana syarikat yang laksana program tanggungjawab sosial korporat (CSR), tidak semestinya kita ikut kehendak mereka sewenangnya. Tidak sehingga apa yang sepatutnya milik kita terlepas pada syarikat terbabit, hanya kerana disebabkan penjaaan. Itu bukan konsep dalam pentadbiran saya,” katanya.
Oleh : Roslinda Hashim
Sumber : Sinar