SEDIA KAJI, HALUSI CADANGAN NUTP


21sedia
PADANG TERAP 21 Disember – Kementerian Pendidikan bersedia mengkaji dan memperhalusi cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) supaya Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga bagi melindungi guru diperkenalkan.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menyambut baik sebarang cada­ngan mahupun idea untuk menambah baik pemuafakatan antara guru dan ibu bapa di sekolah.
Menurut beliau, pihaknya terbuka untuk mengadakan pertemuan dengan NUTP pada awal tahun depan bagi membincangkan cadangan memperkenalkan kod etika berkenaan bagi membolehkannya dikaji dan diperhalusi.
“Setakat ini, cadangan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga ini masih belum sampai ke Kementerian Pendidikan lagi. Bagaimanapun, kita sokong sebarang cadangan mahupun idea untuk menambah baik pemuafakatan antara guru dan ibu bapa di sekolah.
“Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, salah satu sasaran kita adalah bagaimana pemuafakatan antara sekolah dan ibu bapa dapat dipertingkatkan yang dipanggil sarana ibu bapa,” katanya selepas merasmikan program Lestari Modal Insan Koperasi 2017 di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai cadangan NUTP supaya memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga yang akan menjadi panduan tatacara kepada ibu ba­pa atau penjaga ketika berurusan dengan pihak sekolah.
Gesaan itu dibuat NUTP ketika memberi sokongan kepada Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan yang menghadapi pertuduhan mence­derakan seorang murid lelaki berusia 11 tahun di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, April lalu.
Sementara itu ketika ditanya mengenai dakwaan pihak Kementerian Pendidikan tidak lang­sung membantu Cikgu Azizan, Mahdzir memberitahu, pihaknya telah berusaha membantu sebelum kes tersebut dibawa ke mahkamah lagi.
“Dakwaan mengatakan kementerian tidak masuk campur sebenarnya kurang tepat kerana di peringkat kementerian pelbagai usaha dan perbincangan dibuat, malah timbalan menteri saya sendiri ada bertemu dengan Cikgu Azizan. Ini jelas menunjukkan kami (kementerian) menyokong beliau.
“Maka isu kementerian tidak ambil tahu tidak timbul tetapi apabila ia sudah ke peringkat mahkamah, kementerian hanya tunggu dan lihat kerana sebarang kenyataan yang dikeluarkan boleh menjadi kesalahan menghina mahkamah,” ujarnya.
Sumber : Utusan