DATO' AMMAR DILANTIK PEGAWAI KEWANGAN KEDAH


20ammar
ALOR SETAR 20 Disember - Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, 55, dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baharu menggantikan Datuk Wira Mohd Fuzi Mohaidin yang bersara 8 Disember lalu.
Pelantikan beliau diperkenankan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Dewan Mengadap, Istana Anak di sini, pagi tadi.
Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin mengurniakan tauliah pelantikan kepada Ammar yang menjawat jawatan berkenaan 10 Disember lalu.
Yang turut berangkat pada istiadat itu, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tunku Ariff.
Majlis turut dihadiri kepimpinan Kerajaan Negeri diketuai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Ketika ditemui media, Ammar mengucapkan berterima kasih atas pelantikan beliau dan berjanji menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.
"Saya mengharapkan kerjasama semua pihak dari peringkat negeri dan persekutuan untuk membangunkan Kedah.
"Saya juga memastikan kedudukan kewangan negeri berada di tahap yang baik terutamanya dari kerajaan persekutuan untuk membantu meningkatkan peruntukkan dan kewangan kerajaan negeri untuk pembangunan negeri ini," katanya, selepas selesai Majlis Pengurniaan Tauliah Pelantikan, di Istana Anak Bukit, hari ini.
Menurut beliau, kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan amat baik dan bersyukur dengan bajet kepada Kedah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya yakin jalinan kerjasama yang rapat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan diteruskan berikutan punca pendapatan Kedah, tidak begitu banyak," katanya.
Ammar merupakan anak jati Kedah dilahirkan di Alor Setar, memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 1 September 1987 di Pejabat Tanah Daerah Pendang.
Antara jawatan yang disandang ialah Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Pendang, Penolong Setiausaha Kerajaan 'D' Protokal, Pegawai Perhubungan Indonesia- Malaysia- Thailand Growth Triangle (IMT-GT), Pegawai Khas Kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.
Beliau juga menjawat jawatan Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim, Ketua Pegawai Penyelaras Seketariat Jubli Emas Pemerintahan Tunku Sultan Kedah dan juga Timbalan Pengarah (Makro), Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah.
Oleh : Gokina Morganan
Sumber : Sinar