KUBANG PASU 18 November - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru agar rakyat bersedia untuk menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) yang kini menjadi agenda kerajaan dan negara.
Baginda bertitah, revolusi tersebut memudahkan manusia dengan bantuan robotik, namun persediaan perlu dilakukan kerana pekerjaan dan kehidupan mereka akan dikuasai teknologi tersebut.
“Profesor Klaus Schwab melalui bukunya yang bertajuk, The Fourth Industrial Revolution menjelaskan bahawa Revolusi Perindustrian Keempat sebenarnya berbentuk siber fizikal.
“Ini kerana aplikasi robot berkembang selaras dengan artificial intelligence dan kesepaduan internet of things yang merangkumi pelbagai perisian dan peralatan. Ini mencetuskan era pertembungan kepintaran antara manusia dan robot,” titah baginda hari ini.
Terdahulu dalam Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen Ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, Sultan Sallehuddin berkenan menerima pelantikan sebagai Canselor UUM Ketiga bagi menggantikan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat pada 11 September lalu.
Watikah pemasyhuran baginda sebagai Canselor UUM dipersembahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Titah Sultan Sallehuddin, masyarakat Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi Industri 4.0 dan sistem pendidikan perlu disusun selari dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan mengambil tindakan proaktif untuk memastikan ekosistem pendidikan tinggi negara terus terjamin. Menerusi Bajet 2018, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengumumkan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi berjumlah RM13.89 bilion, peningkatan sebanyak 13.15 peratus berbanding RM12.28 bilion pada 2017.
“Kementerian Pendidikan Tinggi sedang merangka dasar pendidikan tinggi agar Malaysia berdaya saing dan menjadi hab di rantau Asia Tenggara kepada Revolusi Perindustrian Keempat ini,” titah baginda.
Baginda bertitah, pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan perlu dilakukan menerusi gabungan serta kerjasama oleh pihak universiti dan industri.
Sementara itu Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak dalam ucapannya berkata, UUM bakal menubuhkan Kursi Profesor Sultan Abdul Halim sebagai usaha mengenang jasa dan sumbangan Almarhum yang menjadi Canselor UUM selama 30 tahun.
“Penubuhan kursi tersebut diletakkan di bawah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz untuk membangunkan penyelidikan dan memacu penerokaan ilmu dalam bidang tadbir urus.
“Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mengambil inisiatif menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM2 juta sebagai dana permulaan penubuhan kursi profesor tersebut,” katanya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan