AIR PERCUMA GUNA KURANG RM10


12air
ALOR SETAR 12 November - Bajet Kedah 2018 membawa khabar gembira untuk rakyat negeri ini apabila kira-kira 38 peratus atau 221,000 pengguna domestik di negeri ini dijangka mendapat manfaat de­ngan pengecualian caj bekalan air bagi penggunaan maksimum 20 meter padu sebulan mulai Januari tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah memberitahu, kerajaan negeri akan menanggung kos pengguna domestik yang memiliki bil bulanan tidak melebihi RM10 yang dianggar berjumlah RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun.
Menurutnya, langkah itu me­rupakan insentif kerajaan negeri untuk menggalakkan penjimatan penggunaan air bersih terawat dan meningkatkan kapasiti margin simpanan di kolam takungan.
“Insentif ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 221,000 akaun pengguna atau 38 peratus daripada 579,000 akaun pengguna domestik di Kedah. Pengguna yang menggunakan air kurang daripada 20 meter padu atau RM10 ke bawah boleh mendapat pengecualian bayaran bil.
“Maksudnya hanya pengguna yang memiliki bil sehingga RM10 dikecualikan, sebaliknya jika bil mereka berjumlah RM10.10 maka kena bayar penuh,” katanya selepas membentangkan Bajet Kedah 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Bajet Kedah 2018 bertemakan Menerus Kemajuan, Menzahir Impian memperuntukkan perbelanjaan keseluruhan RM1.38 bilion dengan kadar defisit RM75.72 juta atau 9.71 peratus berbanding defisit 10.28 peratus dan 14.95 peratus masing-masing pada 2017 dan 2016.
Dalam pembentangan bajet itu, Ahmad Bashah mengumumkan beberapa insentif di bawah agenda Peduli Rakyat antaranya bantuan am kepada penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 yang melibatkan 4,000 penerima dengan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM2.5 juta.
“Bantuan segera bagi mangsa bencana seperti banjir dan bencana alam dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 bagi mang­sa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan.
“Menerusi Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah, seramai 30,000 murid tahun satu yang memasuki alam persekolahan bagi sesi 2018 di semua sekolah rendah negeri ini akan diberi RM100 setiap seorang dalam bentuk simpanan di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i),” ujarnya.
Menurut Ahmad Bashah, pemberian saguhati sebanyak RM500 kepada setiap jemaah haji dari Kedah diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM2.282 juta manakala insentif guru kampung dan guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) turut dinaikkan kepada RM600 seorang berbanding sebelum ini RM450.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM14 juta sebagai bayaran khas RM2,000 kepada kira-kira 7,000 penjawat awam di negeri ini yang disifatkan berperanan sebagai ‘jantung’ kepada kerajaan ne­geri.
“Pembayaran ini dibuat dua kali iaitu RM1,000 pada Di­sember 2017 untuk membantu kelengkapan persekolahan anak-anak kakita­ngan awam. Bayaran kali kedua sebanyak RM1,000 sebelum menjelang Aidilfitri 2018 bagi membantu persiapan sambutan hari raya,” katanya.
Habis
Infografik
- Air percuma bagi penggunaan air 20 meter padu atau RM10 ke bawah bagi pengguna domestik.
- Peruntukan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan sosial, masyarakat, penempatan penduduk dan peningkatan serta kemakmuran rakyat berjumlah RM9.1 juta.
- Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi membaik pulih rumah-rumah golongan memerlukan sebagai langkah membangun hidup keluarga yang lebih kondusif.
- Bantuan am kepada penerima JKM dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 yang melibatkan 4,000 penerima yang terdiri daripada orang kruang upaya (OKU), ibu tunggal dan fakir miskin.
- Bantuan segera bagi mangsa bencana seperti banjir dan bencana alam dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 bagi mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan.
- 30,000 murid Tahun Satu yang memasuki alam persekolahan bagi sesi 2018 di semua sekolah rendah negeri ini akan diberi RM100 setiap seorang dalam bentuk simpanan SSPN-i.
- Pemberian saguhati sebanyak RM500 kepada setiap jemaah haji dari Kedah diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM2.282 juta.
- Insentif guru kampung dan guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) turut dinaikkan kepada RM600 seorang berbanding sebelum ini RM450.
- 20 buah pondok dan 64 maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah menerima dana khas bersifat one off sebanyak RM10,000 dengan jumlah keseluruhan RM840,000.
- Geran berdasarkan bilangan pelajar di sekolah agama rakyat berjumlah RM1.7 juta diteruskan.
- Pelaksanaan Barakah (Bantuan Rakyat Kedah) Masjid dengan dana RM3 juta.
- Elaun imam, bilal dan siak dinaikkan dengan kos pembiayaan RM8.2 juta setahun.
- RM6.5 juta diperuntukkan untuk membina dan menaik taraf masjid serta surau di seluruh Kedah.
- 7,000 penjawat awam Kedah mendapat bayaran khas sebanyak RM2,000.
- Kompleks Asnaf diwujudkan di tapak kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin) lama di Taman Wira Mergong, Alor Setar dengan kos operasi RM20 juta.
- Tuisyen Barakah disasar dilaksanakan di setiap kawasan dewan undangan negeri (DUN) Kedah melibatkan 2,000 pelajar dengan pembiayaan RM500,000.
- Ganjaran RM1,000 kepada anak Kedah yang berjaya mendapat kepujian kelas pertama dalam pengajian ijazah pertama di institusi pengajian tinggi tempatan.
- Pembukaan empat tapak khas food truck di Alor Setar, Jitra, Sungai Petani dan Kulim.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan