BASHAH DEKATI ORANG MUDA


25bashah
ALOR SETAR 25 Oktober - Tiada siapa dapat menyangkal kenyataan bahawa generasi muda hari ini merupakan pelapis kepada kepemimpinan sedia ada yang bakal menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara dan negeri pada masa akan datang.
Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah mengambil langkah ke depan dengan berusaha memenuhi kehendak serta keperluan mereka.
Bukan ‘menatang’ jauh sekali memanjakan sehingga dikhuatiri merosakkan golongan muda itu, sebaliknya apa yang dilakukan hanyalah usaha seorang bapa untuk memberi layanan terbaik kepada anak-anak supaya berusaha lebih kuat untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.
Dari aspek pelajaran, seramai 1,800 pelajar di negeri ini terdiri daripada anak-anak yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan, menerima tuisyen percuma sepanjang tahun ini.
Mereka yang memilih aliran agama juga tidak dilupakan.
Buktinya, sebanyak 18 sekolah agama rakyat (SAR) yang berdaftar di negeri ini telah pun menerima sumbangan berjumlah RM2.1 juta.
Kepada mereka yang sukakan sukan lasak terutamanya aktiviti bermotor, tidak lama lagi tidak perlu menggadai nyawa berlumba di jalan raya kerana sebuah litar lumba sedang dalam proses untuk disiapkan di Bandar Amanjaya, Merbok.
Untuk mahasiswa yang mahu mencari pekerjaan pula, program Internship Mahasiswa Anak Ne­geri (IMAN) 2.0 yang mula diper­kenalkan pada tahun lalu kini memasuki edisi kedua dengan pelbagai penambahbaikan dibuat terhadapnya.
Menurut Ahmad Bashah, program yang diilhamkannya dengan kerjasama Persatuan Siswa Aman Makmur (Ansar) itu diyakini mampu mencungkil bakat-bakat pemimpin muda dalam kalangan mahasiswa.
“Berbanding cuma 25 tempat yang ditawarkan pada tahun lalu, program IMAN kali ini bakal memberi ruang kepada 50 peserta. Perbelanjaan untuknya turut ditambah daripada RM225,000 tahun lalu kepada RM490,000 tahun ini.
“Saya difahamkan terdapat 408 calon telah disenarai pendek untuk ditemuduga. Saya yakin sambutan menggalakkan ini hadir setelah mereka melihat sendiri kejayaan diperoleh para peserta tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, program itu secara tidak langsung diharap dapat memastikan kefahaman terhadap dasar kerajaan negeri terpahat di hati sanubari anak-anak muda Kedah.
“Program ini bagi saya amat berjaya kerana tahun lalu, seramai 15 daripada 25 peserta ditawarkan untuk terus bekerja de­ngan agensi serta badan kerajaan terlibat,” ujarnya.
Lima daripadanya bagaimanapun menolak kerana menerima tawaran lebih baik di tempat lain, selain menyatakan hasrat untuk menyambung pelajaran sementara 10 lagi kekal bersama kita sehingga hari ini," katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan