JUARA KECERIAAN NEGARAKU 2017


25JUARA
MERBOK 25 September – Kesepakatan penduduk Kampung Sungai Itau di Ayer Hangat, Langkawi untuk memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan membolehkan kampung tersebut dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Keceriaan Negaraku 2017 peringkat negeri.
Pegawai Penerangan Daerah Langkawi, Ahmad Farid Abu Dzarin berkata, kejayaan itu membolehkan kampung tersebut mewakili negeri ini untuk bersaing di peringkat kebangsaan selain membawa memenangi wang tunai RM2,500.
“Kemenangan ini sungguh bermakna buat penduduk kampung kerana mereka telah sepakat untuk memasang bendera di rumah masing-masing.
“Setiap rumah penduduk di Kampung Sungai Itau dipasang Jalur Gemilang sama kecil mahupun besar bagi memeriahkan sam­butan Hari Kebangsaan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sementara itu, urus setia pertandingan itu, Normah Ramli memberitahu, pertandingan yang dianjurkan Jabatan Penerangan ini mendapat sebanyak 50 pe­nyertaan di seluruh negeri ini bagi bersaing dalam tujuh kate­gori yang dipertandingkan.
“Kita mendapat penyertaan yang sangat menggalakkan daripada banyak pihak seperti jabatan kerajaan, swasta, kampung, komuniti 1Malaysia, sekolah mahupun individu yang masing-masing berusaha mempamerkan kemeriahan sambutan bulan kebangsaan.
“Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang telah diumumkan sebagai pemenang bagi kategori sekolah serta kategori pintu gerbang manakala Pejabat Daerah dan Tanah Yan telah dinobatkan sebagai pemenang kategori ba­ngunan kerajaan.
“Kategori bangunan swasta dimenangi Kulim Inn manakala Anjung Komuniti 1Malaysia Mukim Jeram, Kampung Chengar, Kubang Pasu memenangi kategori anjung komuniti 1Malaysia. Sementara itu, kreativiti ditonjolkan Mastar Yob telah melayakkannya memenangi kategori individu,” ujarnya.
Tambah Normah, setiap pemenang bagi setiap kategori telah menerima hadiah berupa wang tunai, trofi dan sijil.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan