PROJEK PERUMAHAN RAKYAT DI SETIAP DUN



21merdeka
JERLUN 21 Ogos - Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan untuk mewujudkan satu Projek Perumahan Rakyat (PPR) di setiap 36 Dun dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata hasrat untuk mewujudkan '1 PPR, 1 DUN' itu adalah untuk membantu membangunkan rumah mampu milik kepada rakyat negeri ini.
"Setakat ini kawasan yang terlibat dengan (projek) PPR ini adalah di Mukim Naga di Kepala Batas; Kota Setar, Kuala Nerang, Ayer Hitam, Bakar Bata di Alor Setar serta Kuah dan Ulu Melaka di Langkawi.
Jumlah kos keseluruhan pembinaan projek PPR ini adalah sebanyak RM704 juta yang melibatkan pembinaan 3,228 unit rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah PPR Ayer Hitam di sini hari ini.
Ahmad Bashah berkata sebanyak 312 unit rumah PPR bernilai RM50 juta telah pun siap di Kepala Batas setakat ini manakala PPR Kota Setar, PPR Kuala Nerang dan PPR Ayer Hitam dalam proses pembinaan melibatkan 1,416 unit dengan kos RM254 juta.
"Projek PPR yang masih dalam perancangan adalah melibatkan 1,500 unit rumah bernilai RM400 juta iaitu di Bakar Bata, Alor Setar serta di Kuah dan Ulu Melaka, Langkawi,” katanya.
Beliau berkata jumlah PPR juga dijangkakan bertambah berikutan jumlah permohonan daripada rakyat negeri ini yang semakin meningkat setiap tahun.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) Datuk Izham Yusoff berkata melalui anak syarikatnya, BDB Synergy Sdn Bhd bakal membina 630 buah rumah teres setingkat bagi projek PPR di Ayer Hitam.
"Saya berharap rumah PPR seluas 700 kaki persegi ini dapat menampung keperluan dan pertambahan penduduk Kedah dari semasa ke semasa," katanya.
Sumber : Sinar