KERABAT DIRAJA KEDAH TIDAK TERLIBAT



12kerabat
ALOR SETAR 12 Ogos - Tiada dalam kalangan kerabat DiRaja Kedah terlibat dalam penipuan penganugerahan pingat palsu yang dibongkar polis Kedah, Rabu lepas.
Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, pihaknya bagaimanapun melahirkan rasa kesal dengan kes seumpama itu yang jelas mendatangkan imej buruk kepada keluarga serta kerabat diraja dan berharap pihak berkuasa bertindak tegas tanpa ada kompromi.
“Dalam kes ini, tiada dalam kalangan kerabat diraja Kedah terlibat. Apa pun masyarakat perlu beringat, tiada siapa pun termasuk para kerabat yang layak menganugerahkan pingat kebesaran kepada mana-mana individu selain daripada sultan.
“Bukan kali pertama perkara sebegini berlaku di Kedah. Sebelum ini pun ada penipuan sama di Sungai Petani dan tindakan tegas turut diambil dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.
Akhbar melaporkan, orang kenamaan (VIP) yang dijemput oleh Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarelawan Malaysia untuk menyampaikan anugerah tersebut, dipercayai seorang kerabat diraja dari sebuah negeri di utara semenanjung.
Pingat tersebut dipercayai ‘dikurniakan’ kepada 95 penerima terdiri daripada ahli perniagaan dan pesara kerajaan berusia antara 30-an hingga 60-an yang membuat bayaran berjumlah RM5,000 setiap seorang
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan