KEMERDEKAAN BUKAN MILIK PARTI POLITIK



21merdeka
ALOR SETAR 21 Ogos - Rakyat Kedah diminta mengetepikan sementara perbezaan fahaman dan pemikiran politik masing-masing bagi membolehkan Hari Kebangsaan ke-60 disambut dalam keadaan aman damai.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kemerdekaan yang tercipta bukan untuk mana-mana parti politik sebaliknya adalah kemerdekaan buat seluruh rakyat Kedah dan Malaysia.
"Jadi, kita perlu sama-sama berdiri teguh sebagai rakyat Malaysia bagi membolehkan keamanan, kemajuan dan pembangunan negeri dan negara dapat dicapai," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di sini malam tadi.
Ahmad Bashah berkata semua rakyat Kedah perlu bersatu hati dan bekerjasama dalam memupuk perpaduan antara semua kaum yang ada bagi membolehkan pengisian kemerdekaan dicapai.
"Pelbagai cabaran dan halangan yang telah kita tempuh untuk peroleh kemerdekaan dan hasil daripada kerjasama dan perpaduan kesemua kaum banyak yang telah kita peroleh sepanjang tempoh 60 tahun kemerdekaan ini," katanya.
Sementara itu, beliau meminta semua rakyat Kedah untuk memasang Jalur Gemilang di setiap rumah, premis perniagaan dan kerajaan sebagai tanda kesetiaan dan kasih terhadap negara ini.
Sumber : Sinar