EMAS HAMPIRI PELAYARAN MALAYSIA



21emas
LANGKAWI 21 Ogos - Pasukan pelayaran Optimist negara berada di landasan tepat untuk mempertahankan pingat emas yang digenggam pada 2015 apabila mengutip mata penuh dalam dua pusingan round robin yang berlangsung di Kompleks Pelayaran Kebangsaan, di sini, hari ini.
Barisan pelayar Malaysia terdiri daripada Nor Nabila Natasha, Israr Hazim Ismail, Muhammad Syafie Ali dan Muhammad Fauzi Kaman Shah tampak tidak langsung berdepan masalah untuk menundukkan pesaing terkuat dari Thailand yang menduduki tempat kedua dengan mengutip empat mata dan Singapura, dua mata.
Kejayaan itu membolehkan mereka mendapatkan laluan mudah pada peringkat separuh akhir esok apabila dijadualkan menentang pasukan tercorot, Myanmar yang gagal memenangi sebarang perlumbaan dalam pusingan round robin hari ini.
Bagi kategori berpasukan Laser Standard pula, pasukan negara diwakili Asri Azman, Khairul Nizam Mohd. Affendy serta Muhammad Farhan Hamid bangkit menebus kesilapan pada pada round robin pertama untuk mengutip dua mata pada pusingan round robin kedua bagi mengesahkan tempat ke final menentang Singapura esok.
Pasukan Laser Radial diwakili trio Khairuneeta Mohd. Affendy, Nur Shazrin Mohamad Latif dan Nurliyana Mohamad Latif bagaimanapun gagal menuruti kecemerlangan dua pasukan itu apabila sekadar mengutip satu mata sekali gus terpaksa memberi laluan kepada Singapura dan Thailand untuk bersaing merebut pingat emas, esok.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan