TERHARU DIJANJIKAN RUMAH BAHARU



18terharu
BALING 18 Julai - Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan Ismail Taib, 83, yang rumahnya musnah dalam kebakaran baru-baru ini apabila mendapat berita bakal menerima rumah baharu.
Berita tersebut dimaklumkan sendiri oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawatnya semalam.
Warga emas itu berkata, pada usia itu dia tidak mampu untuk menyediakan wang untuk membina rumah baharu bagi mereka lima beranak berteduh.
“Saya tidak mampu membina rumah baharu kerana usia yang semakin uzur dan bukannya daripada golongan berada,” kata Ismail ketika ditemui di Kampung Lela, Kuala Pegang, semalam.
Menurutnya, dia amat gembira apabila Ahli Parlimen itu meluluskan peruntukan seba­nyak RM35,000 untuk membina sebuah rumah baharu di tapak sedia ada.
Katanya, kejadian pada pukul 4 petang Rabu lalu berlaku sekelip mata ketika dia berehat.
Dia bagaimanapun bernasib baik apabila penduduk kampung ternampak api marak di tingkat atas rumahnya dan segera menyelamatkannya yang lumpuh.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, menjadi dasar kerajaan membantu mereka yang ditimpa musibah bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa.
“Mereka tidak perlu lagi memikirkan soal tempat tinggal untuk berteduh kerana rumah baharu akan dibina dalam masa terdekat.
“Saya harap mereka bersabar dan reda dengan nasib malang yang menimpa mereka dan buat sementara waktu mereka ber­teduh di rumah saudara maranya yang berdekatan,” kata Abdul Azeez.
Oleh : Norlia Ramli
Sumber : Utusan