KURSUS KAHWIN PERCUMA



20kursus
ALOR SETAR 20 Julai - Sepanjang 30 minit me­nyampaikan amanat sempena 100 hari pentadbirannya di negeri ini pada Mei tahun lalu, perkataan ‘anak muda’ merupakan antara yang paling banyak disebut dalam ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah iaitu sembilan kali.
Perkara itu bukan sesuatu yang pelik kerana bagi Ahmad Bashah, anak muda merupakan pewaris negeri yang perlu disantuni dengan baik bagi memastikan golongan berkenaan berada di landasan tepat untuk memacu kemajuan negeri dan tanah air pada masa akan datang.
Menurutnya, dalam memben­tuk ‘pewaris’ tanah air, beliau tidak hanya memikirkan tentang generasi muda iaitu golongan remaja atau belia pada masa kini saja, tetapi lebih dari itu.
“Tumpuan turut di­beri kepada pemba­ngunan anak-anak me­reka ya­ng bakal di­la­hirkan se­telah ber­kahwin.
“Saya percaya, ge­ne­rasi muda yang ampuh dari aspek disiplin dan jati diri hadir daripada keluarga ya­ng bahagia serta dipimpin secara betul mengikut acuan se­perti ditetapkan agama. Oleh itu, saya minta supaya kursus kahwin percuma yang dianjurkan kerajaan negeri diperluaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, berbanding ta­hun lalu, penganjuran kursus kahwin tersebut ki­ni­ diperba­nyakkan eko­ran sambutan cukup memberangsangkan yang di­terima daripada generasi muda di seluruh negeri ini.
“Jika tahun lalu penganjurannya diada­kan di 12 daerah, kali ini kursus kahwin berlangsung di semua 15 kawasan Parlimen bagi membolehkan lebih ramai rakyat terutamanya anak muda yang mahu berumah tangga menerima manfaat daripadanya.
“Mereka tidak perlu membayar langsung untuk mengikuti kursus selama dua hari yang bia­sanya menelan belanja sebanyak RM80 bagi setiap individu. Semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri kerana kami sedar, perkahwinan biasanya menuntut belanja yang besar dan ini sedikit-sebanyak diharap membantu mengurangkan beban ditanggung,” katanya.
Pada tahun lalu, lebih 2,000 individu mengikuti kursus tersebut dan jumlahnya dijangka meningkat lebih banyak tahun ini ekoran pertambahan lokasi penganju­rannya.
Untuk tahun ini, penganjuran kursus itu sudah berlangsung di tiga kawasan Parlimen iaitu di Alor Setar, Kuala Kedah dan Ba­ling yang diadakan pada Mac, April dan Mei lalu.
Kesemua 15 kursus yang dirancang untuk tahun ini dijangka akan diadakan sebelum Disember.
Dalam pada itu Ahmad Bashah menegaskan, generasi muda per­lu menggunakan kesempatan diberi kerajaan negeri untuk menimba pengetahuan sedalam mungkin mengenai alam perkahwinan tanpa bersikap sambil lewa.
“Apabila mengikuti kursus ini, janganlah lakukannya sambil lewa atau datang semata-mata kerana mahukan sijil. Kerajaan negeri mempunyai harapan besar supaya institusi keluarga di ne­geri ini mampu menjadi yang terbaik demi kebaikan semua pihak pada masa akan datang.
“Para tenaga pengajar yang terlibat dengan kursus itu juga bukan calang-calang kerana kursus kahwin percuma ini turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK),” katanya.
Tidak cukup dengan itu katanya, pelbagai perkara turut dirancang bagi menambah baik program tersebut supaya mampu mendatangkan lebih manfaat kepada para peserta.
“Kerajaan negeri amat prihatin tentang institusi keluarga kerana keharmonian mampu menyumbang ke arah kestabilan komuniti.
“Atas sebab itu, kursus perkahwinan ini akan diteruskan. Selain menekankan mengenai pembentukan keluarga harmoni, kursus tersebut turut diselang-selikan dengan seminar ibu bapa bagi membentuk ketua keluarga yang mampu mengendalikan ahli dengan sikap sabar serta berhemah,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan