KRISTAL GERGASI TARIKAN BAHARU



8kristal
ALOR SETAR 8 Julai - Batu kristal gergasi seberat 1.3 tan ditemui penduduk tempatan pada Jun 2014 menjadi daya tarikan terbaharu di Gunung Keriang, di sini.
Menurut Mahadi Mat Akhir, 51, batu kristal berbentuk bulat dan bahagian tengahnya dipenuhi kristal putih seakan-akan bunga berkenaan memiliki saiz paling besar dari kristal lain.
“Sekarang, batu kristal yang bernilai tinggi sehingga mampu mencecah harga lebih RM40,000 itu diletakkan di hadapan kedai saya di kaki Gunung Keriang.
“Disebabkan nilai dimiliki, batu kristal terbabit sentiasa dijaga kerana bimbang ada yang datang cuba mengambil batu kristal di dalamnya,” katanya.
Katanya, batu berkenaan agak mahal disebabkan proses mengeluarkan batu kristal gergasi rumit dan memakan masa lama.
Mahadi berkata, dia dibantu dua rakan terpaksa mengambil masa 20 hari mengeluarkan batu kristal gergasi kerana kedudukan terletak di dalam gua.
“Jadi, memang payah nak keluarkan batu kristal itu, ditambah ia bersaiz besar. Peringkat awalnya, kami perlu korek dan potong batu kristal dari dinding gua.
“Untuk proses tersebut, kami mengambil masa selama 15 hari bagi memastikan batu kristal siap dipotong, diikuti menaikkan batu dua hari kemudian. Seterusnya, mengeluarkan batu dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Katanya, mereka perlu mengharungi laluan keluar yang curam bersama batu kristal dikenali sebagai bunga batu.
Namun, menurut Mahadi, mereka tekad mengeluarkan batu kristal walaupun berdepan dugaan untuk menaikkannya ke permukaan dari kedudukan 14 meter (m) di pelosok dalam gua.
Mahadi berkata, dia bersyukur berkat semangat mereka tidak putus asa telah membawa kepada penemuan hebat batu kristal terbesar Kedah ditemui di Gunung Keriang.
Batu kristal merah jambu
Kata Mahadi yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun mencari sumber mineral, dia turut menemui batu kristal jenis baharu ketika mencari batu kristal di dalam gunung tersebut.
“Sepanjang menjejaki batu kristal, saya hanya jumpa batu kristal berwarna hitam, kuning, merah, coklat dan putih sahaja. Ini kali pertama menemui batu kristal merah jambu,” katanya.
Kata Mahadi, warna batuan yang unik mengakibatkan ada pengunjung salah sangka bahawa ia dicat semata-mata menarik perhatian umum, sedangkan tidak.
Menurutnya, batu kristal ditemui di tempat kering dalam gua gunung itu berwarna merah jambu asli dipercayai hasil proses luluhawa apabila terkena air sehingga warnanya timbul.
Katanya, dia yakin batu kristal merah jambu memiliki nilai komersial tersendiri terutamanya di kalangan peminat batu kristal terdiri dari masyarakat cina yang mempercayai ia mampu membawa aura positif dalam kehidupan pemilik.
Tambahnya, nilai sesuatu batu kristal bergantung kepada bentuk batuan dan tahap kecederaan dimiliki ketika proses mengeluarkan ia dari gunung.
“Lagi unik bentuk, makin ia menarik perhatian," katanya.
Permintaan bertambah
Katanya, walaupun batu kristal yang menjadi identiti Gunung Keriang unik dan berkualiti, bagai-manapun mereka pernah berdepan zaman kejatuhan sekitar 2013.
Kata Mahadi, mereka kini mampu menarik nafas lega apabila batu kristal makin mendapat permintaan semula sejak awal tahun 2017.
"Sambutan pelanggan meningkat apabila ada peniaga luar dari Johor, Melaka dan Perlis mempromosi dan menjual batu kristal Gunung Kering secara online.
"Lebih mengejutkan, ada yang sanggup datang beli batu kristal sehingga penuh satu lori April lepas untuk dijual kepada pelanggan," katanya.
Malah, katanya, mereka turut menerima kehadiran pelancong antarabangsa dari Korea, Turki dan Thailand mendapatkan batu kristal Gunung Keriang, selain orang tempatan.
Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mempromosikan lagi keunikan di Gunung Keriang.
Katanya, batu kristal itu merupakan salah satu tarikan pelancongan menarik di Bandaraya Alor Setar untuk dikunjungi pelancong.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar