KERAJAAN NEGERI BUAT PENGESAHAN AKHIR



3makam
ALOR SETAR 3 Julai - Kerajaan negeri akan membuat pengesahan terakhir bersama-sama Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) mengenai tiga penemuan utama persatuan itu tahun ini yang didakwa merupakan makam milik Sultan Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Agama dan Warisan negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pihaknya sehingga kini masih lagi menunggu laporan penuh daripada PSMCK mengenai penemuan itu.
"Kami akan turun bersama-sama dengan PSMCK, Jabatan Muzium dan pakar-pakar sejarah untuk mengkaji bukti-bukti dan alasan yang boleh mengukuhkan dakwaan bahawa kesemua makam tersebut adalah makam Sultan Kedah," katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada 23 Mac lepas, PSMCK menemui makam dipercayai milik Sultan Kedah ke-16 Sultan Ataullah Muhammad Shah berusia 330 tahun di Bukit Pinang.
Sembilan makam lain bersama makam itu ditemui anggota PSMCK, dan ia terletak betul-betul di tepi sungai di Kampung Bukit Pinang dekat sini.
Ia susulan penemuan makam dipercayai milik Sultan Kedah ke-14, Sultan Muhyiddin Mansur Shah di Kampung Chegar, Mukim Jeram, Tunjang pada 27 Mac lalu.
Bagaimanapun PSMCK merekodkan satu lagi penemuan apabila empat lagi kubur termasuk dipercayai makam Sultan Kedah ke-19 Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin II dan permaisurinya, Tunku Puteri Almarhum Tunku Ishak, ditemukan di Anak Bukit pada 8 Mei lalu.
Mohd Rawi berkata kesemua penemuan itu menunjukkan PSMCK begitu aktif membuat aktiviti kajian, pengumpulan data serta rekod penting mengenai sejarah negeri itu yang masih belum terungkai.
Sehubungan itu Mohd Rawi berkata, setelah kesemua bukti-bukti dikumpulkan dan makam itu disahkan sebagai makam Sultan Kedah, beliau akan mengarahkan Pejabat Daerah dan beberapa agensi berkaitan untuk membuat gotong-royong dan memulakan usaha memulihara kawasan berkenaan.
"Dengan ini para peminat sejarah atau pun pengunjung yang berminat bolehlah menziarahi makam-makam ini yang merupakan suatu khazanah negara yang tidak ternilai," katanya.
Sumber : Sinar