KEDA BAIK PULIH RUMAH USANG



17keda
KULIM 17 Julai - Kesusahan hidup seorang warga emas yang tinggal di Kampung Charok Kedah sejak lebih 50 tahun lalu akhirnya mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) yang membantu membaik pulih rumah usangnya.
Ibu tunggal, Siti Mariam Isa, 74, berkata, dia bersyukur akhirnya dapat menghabiskan sisa hidup di rumah lebih sempurna setelah sekian lama menunggu.
Menurutnya, sebelum ini dia terpaksa hidup dalam keadaan tidak tenteram terutama ketika musim hujan kerana keadaan rumah kian mereput dan bumbung rumah bocor.
"Kalau hujan memang tak boleh tidur. Bumbung rumah dah lama bocor. Kadang-kadang bila angin kuat saya risau duduk dalam rumah sebab rasa tak selamat.
"Dinding rumah juga dah dimakan anai-anai dan reput dekat bahagian rumah atas. Siapa pun tak berani nak naik atas," katanya.
Siti Mariam berkata, walaupun anak-anak sudah besar, namun mereka juga ada kehidupan sendiri dan keluarga yang perlu ditanggung.
“Saya faham keadaan anak, mereka juga terpaksa tanggung diri sendiri dan keluarga, nak bantu baiki rumah memang tak mampu.
“Saya bersyukur dan gembira sekarang ada pihak yang nak bantu. Walaupun tak tahu berapa lama lagi saya akan hidup namun saya gembira habiskan sisa hidup dalam rumah lebih sempurna,” katanya.
Selain itu, Adun Kulim, Chua Thiong Gee berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat.
Menurutnya, projek itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat melalui Keda yang membaik pulih rumah seorang penduduk yang usang.
“Sebanyak RM13,000 diperuntukkan untuk program baik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat termasuk Keda, JKKK, dan penduduk yang membantu menyiapkan rumah warga emas ini,” katanya.
Sumber : Sinar