IKAN BANYAK HARGA MURAH



5ikan
KUALA KEDAH 5 Julai - Harga ikan kembung didapati menurun sehingga serendah RM2 sekilogram bermula 2 Syawal lalu berikutan lambakan bekalan ikan disebabkan cuaca baik.
Tinjauan Sinar Harian mendapati ikan kembung dijual serendah RM2 hingga RM15 per kilogram (kg) mengikut saiz, jenis dan tahap kesegaran ikan di sekitar pelantar ikan Seberang Kota, di sini, semalam.
Seawal jam 8 pagi, pelanggan dilihat berpusu-pusu memenuhi ruangan pelantar untuk mendapatkan ikan segar dijual pada harga murah berkali ganda berbanding beberapa bulan lalu.
Pada Mac lepas, ikan kembung direkodkan dijual pada harga sekitar RM22 hingga RM25 per kg akibat laut bergelora dan hasil tangkapan ikan berkurangan hingga menimbulkan kebimbangan kepada pelanggan.
Peniaga, Zulkifli Ariffin, 45, berkata, ikan kembung dijual pada harga rendah sekitar RM2 sekilogram mengikut saiz dan jenis disebabkan ikan banyak sejak beberapa hari lepas.
“Harga ikan tak menentu, adakala turun adakala naik disebabkan faktor cuaca. Bagaimanapun, harga ikan memang murah sejak beberapa hari lepas kerana hasil tangkapan meningkat.
“Jadi kami boleh jual ikan pada harga rendah sebab bekalan ada. Malah, harga ikan boleh turun lagi bila waktu petang sebab kami ingin memastikan ia habis dijual,” katanya.
Tambahnya, dia sendiri menjual ikan kembung di luar pelantar pada harga RM2.50 sekilogram ketika awal pagi bagaimanapun ikan dijual pada harga RM2 sahaja apabila masuk petang.
“Dari kita simpan ikan, lebih baik jual murah. Lagipun bekalan ikan kembung mudah didapati daripada nelayan berbanding beberapa bulan lepas,” katanya.
Bahkan katanya, bekalan ikan banyak sehingga peniaga makanan mahupun pengguna sendiri dapat membeli ikan untuk dimasak dalam kuantiti yang banyak.
Ikan habis dijual
Melati Ladun, 34, berkata, dia mampu menjual ikan kembung antara 200 hingga 300kg disebabkan bekalan banyak dan harga murah sejak seminggu lalu.
“Kelmarin dulu memang ada ikan kembung dijual RM2.50 per kg. Tapi ikan kembung dijual RM4 per kg dan untuk 3kg dijual RM10 hari ini (semalam),” katanya.
Tambahnya, harga tidak menentu dan jika bernasib baik pelanggan mampu beli ikan kembung pada harga rendah, bergantung pada stok serta bekalan ikan yang ada.
Katanya lagi, harga ikan yang murah mendapat sambutan baik sehingga bekalan dijual habis dan stok perlu ditambah demi memenuhi permintaan pelanggan.
Bukan ikan kotak
Sementara itu, Khadijah Md Shah, 42, berkata, penurunan mendadak harga ikan sejak 2 Syawal lepas mendapat sambutan baik dalam kalangan pelanggan.
Menurut Khadijah, orang ramai turut tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan ikan segar di pelantar yang dibuka setiap hari seawal jam 8.30 pagi hingga 12 tengah malam.
Katanya lagi, harga ikan tidak menentu mengikut saiz, gred dan juga kesegaran ikan, bagaimanapun dijual murah sekitar RM4 sekilogram di kawasan pelantar ikan.
“Sejak lepas raya, ikan memang jenuh. Walaupun ikan murah, tapi jangan salah sangka ikan dijual ini ikan kotak.
"Sebaliknya, kami jual ikan yang baru naik dari laut, memang segar. Kalau tak percaya, boleh mai tengok sendiri,” katanya.
Sumber : Sinar