BUANG SAMPAH BERDEPAN TINDAKAN TEGAS



23buang
ALOR SETAR 23 Julai - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan sistem pengkomputeran mySIKAP bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemandu yang membuang sampah di jalan raya.
Pengarahnya, Hazahar Hashim berkata melalui kerjasama ini, pihak SWCorp dapat mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis terhadap pemandu kenderaan yang membuang sampah dari dalam kenderaan.
"Kita (SWCorp) dapati masyarakat masih kurang kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan apabila mereka membuang sampah semasa dalam pemanduan terutamanya ketika sedang berhenti di lampu isyarat merah.
"Kita akan tangkap gambar kenderaan pemandu yang membuang sampah sebelum mendapatkan maklumat lengkap melalui nombor pendaftaran kenderaan dengan menggunakan sistem pengkomputeran mySIKAP oleh pihak JPJ,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka SWCorp Kedah di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini ada negeri yang menggunakan sistem ini namun tidak secara menyeluruh dan SWCorp Kedah akan cuba menjadi negeri pertama yang mengguna pakai sistem mySIKAP untuk mengambil tindakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan.
Katanya, SWCorp juga sedang menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat supaya membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan oleh pihak syarikat pengurusan sisa pepejal, E-Idaman Sdn Bhd.
“Tong sampah telah disediakan tetapi masih ada masyarakat yang membuang sampah di luar dan tepi bahagian tong disediakan.
“Buat masa ini kita masih dalam proses berkempen dan selepas ini sekiranya masyarakat gagal membuang samaph di tempat yang sepatutnya, tindakan undang-undang akan dikenakan,” katanya.
Dalam pada itu, Hazahar berkata, sejak penguatkuasaan sisa pepejal di punca pada 1 Jun 2016 hingga bulan Jun tahun ini, SWCorp Kedah telah mengeluarkan 200 notis pemberitahuan kepada pemilik kediaman yang gagal mengasingkan sisa pepejal di punca.
“Daripada jumlah itu, 20 notis kompaun dikeluarkan dan dibayar oleh pesalah dengan jumlah RM50 setiap seorang bagi kesalahan pertama,” katanya.
Sumber : Sinar