BAKAL DAPAT RUMAH BAHARU



23bakal
BALING 23 Julai – Kegembiraan lima beranak yang kehilangan tempat tinggal tidak dapat digambarkan apabila diberitahu rumah mereka yang terbakar akan diganti baharu.
Usa Din Oom, 65, berkata, dia merasa amat gembira apabila Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meluluskan pembinaan sebuah rumah tiga bilik bernilai RM40,000.
“Saya amat berterima kasih kepadanya dan juga kerajaan yang prihatin dan peka dengan nasib malang yang menimpa rakyat.
“Kejadian kebakaran itu menyebabkan kami lima beranak tinggal sehelai sepinggang, termasuk kehilangan dua kereta dan dua motosikal,” kata Din Oom ketika ditemui di Kampung Sirako, Pulai, semalam.
Menurutnya, dalam kejadian pada pukul 6 .30 petang itu, dia dan isterinya tiada di rumah.
“Nasib baik ibu, Prom Din Tom, 85, sempat diselamatkan oleh anak saya, Usa Cham Rian, 22,” katanya.
Sementara itu, Abdul Azeez berkata, bantuan segera untuk membina rumah baharu dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan mangsa tinggal di rumah mereka sendiri.
“Bantuan awal disalurkan melalui Pejabat Parlimen Baling, Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, Pejabat Daerah Baling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan segera seperti makanan dan wang tunai kepada mangsa,” katanya.
Sumber : Utusan