AGRESIF PASAR PRODUK PELANCONGAN




    19agresif
    ALOR SETAR 19 Julai - Sudah tiba masanya untuk Kedah memasarkan produk-produk pelancongan tanah besar dengan cara lebih agresif dan komersial, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
    Ahmad Bashah berkata, Kedah mempunyai aset pelancongan yang cukup bernilai terutama dari segi warisan, sejarah kesultanan Kedah dan eko pelancongan yang asli.
    Katanya, selain itu Kedah kaya dengan nilai tamadun tertua di Asia Tenggara di Sungai Batu dan pelancongan ibadah.
    “Walaupun industri pelancongan bukanlah satu industri utama untuk negeri ini tetapi pihak kerajaan yakin ia juga akan memberi impak ekonomi kepada pengusaha-pengusaha industri dan ekonomi rakyat negeri secara amnya,"katanya semalam.
    Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid pada majlis penutup Persidangan Industri Pelancongan Kedah yang disertai 80 peserta di Star City Hotel, di sini, petang semalam.
    Sementara itu, mengulas mengenai persidangan berkenaan, Pengerusi Forward Kedah, Khairil Hanafi berkata ia diadakan untuk meningkatkan integrasi sesama pengusaha industri pelancongan dan mencari idea baru.
    Katanya, program berlangsung selama dua hari bermula pada 17 Julai lalu merangkumi pengusaha industri pelancongan dari lima daerah membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Pokok Sena dan Padang Terap.
    “Sudah sampai masanya untuk berfikir secara kreatif dan bergerak secara kumpulan serta mengambil tindakan proaktif dalam usaha membangunkan industri pelancongan di negeri ini.
    “Menerusi program dua hari ini, kita berjaya menghasilkan 17 inisiatif baru yang dinamakan sebagai ‘Deklarasi Pelancongan Kedah Utara. Inisiatif berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Besar Kedah,”katanya.
    Oleh : Gokina Morganan
    Sumber : Sinar