38 TOLAK VAKSIN DI KULIM TAHUN LALU



7tolak
KULIM 7 Julai - Seramai 38 kanak-kanak di daerah ini tidak menerima vaksin pada tahun 2016 kerana penolakan oleh ibu bapa masing-masing.
Pegawai Kesihatan Daerah Kulim, Dr Alias Abdul Aziz berkata, bilangan ibu bapa tolak vaksin makin membimbangkan.
Menurutnya, alasan yang sering diberikan ibu bapa kanak-kanak tersebut adalah berkaitan status halal penggunaan vaksin yang masih diragui mereka.
“Sejak kebelakangan ini, peningkatan penolakan vaksin untuk imunisasi anak-anak makin meningkat. Kita percaya jumlah yang tidak dilaporkan juga ada dan meningkat," katanya.
Dr Alias berkata, kebanyakan ibu bapa memberi alasan untuk tidak memberi suntikan vaksin kepada anak-anal kerana ragu dengan status halal vaksin yang digunakan.
"Keadaan ini semakin membimbangkan sekiranya golongan anti vaksin ini semakin bertambah akan menyebabkan penularan semula wabak penyakit yang sudah lama tidak muncul selepas vaksin diperkenalkan seperti difteria, TB dan batuk kokol,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Imunisasi dan Kempen Kesedaran Penyakit Berjangkit Peringkat Negeri Kedah, semalam.
Tambahnya, kebanyakan golongan anti vaksin ini mendapat maklumat daripada internet yang disebarkan tanpa fakta yang sah dan tepat.
“Masyarakat sering mendapatkan maklumat di media sosial tanpa menyemak kepada yang pakar dalam bidang tersebut, mereka terus percaya dan wujudlah golongan tolak imunisasi,” katanya.
Selain itu, Alias berkata, program seminar yang diadakan melibatkan pelbagai agensi kerajaan, guru dan pelajar ini diharap dapat membantu memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa imunisasi itu penting untuk menghalang penyakit berjangkit.
Sumber : Sinar