TUBUH JAWATANKUASA KERJA PERKEMAS KAFA



17tubuh
PADANG TERAP 17 Jun - Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja dalam usaha memperkemaskan program Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di sekolah.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha itu akan digerakkan oleh Jakim melalui Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) dalam masa terdekat.
Katanya, hasrat itu juga diutarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika Warshah Islah Pendidikan Islam Lepai, 15 Jun lepas.
“Satu jawatankuasa kerja akan dibentuk antara Jakim dan Kementerian Pendidikan selepas itu kita akan bincang tentang kaedah memperkemaskan program Kafa kepada satu sistem.
“Lepai di bawah Majlis Raja-raja Melayu apabila siap akan persembahkan kepada Raja-raja Melayu. Kita nak perkemaskan Kafa di sekolah,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 565 individu terdiri daripada imam, guru Kafa, pegawai masjid dan guru agama.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan