MESYUARAT KHAS TANGANI KRISIS AIR



10msyuarat
PADANG TERAP 10 Jun - Kerajaan Negeri Kedah akan mengadakan mesyuarat khas pada 19 Jun ini bagi mencari kaedah terbaik menangani krisis bekalan air di beberapa daerah menjelang sambutan Aidilfitri nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri Datuk Badrol Hisham Hashim berkata mesyuarat itu akan dihadiri pihak berkepentingan dan Syarikat Air Darulaman (SADA).
Beliau berkata walaupun kerajaan negeri mengambil pendekatan menghantar lori air SADA di kawasan terjejas sebelum ini namun, ia tidak menyelesaikan masalah itu sepenuhnya kerana tahap penggunaan air dijangka meningkat sehingga 30 peratus menjelang Aidilfitri.
"Satu daripada cara yang kita boleh buat pada masa ini adalah dengan meningkatkan kekerapan penghantaran air di kawasan-kawasan terbabit seperti di Pokok Sena, Baling, Merbok dan kawasan-kawasan yang dikenal pasti kawasan ''hot spot''," katanya kepada pemberita selepas perasmian Tadarus Al-Quran Perdana peringkat Parlimen Padang Terap oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Badrol Hisham meminta kerjasama penduduk setempat supaya sentiasa bercermat menggunakan air dan menyediakan tong air di rumah mereka supaya proses penghantaran air dapat berjalan lancar.
Sejak kira-kira lima tahun lepas, kawasan Kota Setar, Pokok Sena, Kuala Nerang dan Pendang akan mengalami masalah bekalan air sehari sebelum Aidilfitri kerana penggunaannya meningkat sehingga 30 peratus berikutan ramai perantau pulang ke kampung menyambut lebaran.
Dalam pada itu, Badrol Hisham berkata sebanyak 500 tangki air plastik berkapasiti 900 liter akan diagihkan secara berperingkat menerusi fasa dua kepada penduduk yang sering terjejas dengan masalah bekalan air.
"Pada fasa pertama, kita agihkan 1,000 tangki dengan peruntukan RM200,000, tetapi untuk fasa kedua ini melibatkan peruntukan RM100,000 di mana 500 tangki lagi akan diagihkan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) atau wakil Adun Barisan Nasional sebelum diserahkan kepada penduduk yang tidak berkemampuan membeli tong atau tangki air," katanya.
Menurutnya satu taklimat khas akan diadakan bersama-sama Adun pada 12 Jun ini bagi melancarkan proses pengagihan di samping mengenalpasti langkah terbaik bagi menagani isu bekalan air di kawasan masing-masing.
Sumber : Utusan