135 PESERTA RISDA GAGAL DIKESAN




    11peserta
    SIK 11 Jun - Seramai 135 peserta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di negeri ini gagal dikesan sekali gus menyukarkan pengagihan dividen yang tertunggak sejak 1979.
    Pengerusi Jawatan­kuasa Pe­nerangan, Pem­­bangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, sehubungan itu pemilik-pemilik dividen ataupun waris-waris mereka perlu tampil bagi membantu RISDA memudahkan urusan penyampaian dividen tersebut.
    “Saya meminta agar mereka ini mahu pun waris mereka untuk segera ke pejabat RISDA daerah yang berdekatan untuk membuat tuntutan bagi menyelesaikan masalah agihan dividen yang masih tertunggak sejak 1979 lagi.
    “Itu adalah wang dividen milik pekebun-pekebun kecil RISDA yang masih belum dituntut dan seboleh mungkin RISDA mahu menyelesaikan segera penyerahan tersebut supaya pemiliknya turut merasai bayaran di­viden yang dilakukan sejak sekian lama,” katanya ketika berucap me­rasmikan Majlis Pe­nyampaian Dividen Risda Peringkat Ne­geri Kedah di Dewan Wawasan Gemilang di sini hari ini.
    Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pe­ngarah (Pembangunan) RISDA, Nasaruddin Malek.
    Menurut Mohd. Tajudin, untuk tahun ini, RISDA turut menyampaikan bayaran dividen berjumlah RM1.2 juta kepada 830 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) dari seluruh negeri ini.
    “Bayaran tersebut dilakukan bagi membantu para penerima berbelanja sempena menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi. Setiap peserta akan me­nerima dividen sebanyak RM1,000 hingga RM4,000 setiap orang bergantung kepada keluasan tanah yang diusahakan mereka.
    “Pemberian dividen itu juga adalah sebagai penghargaan kepada pekebun-pekebun kecil yang sentiasa bertungkus-lumus membantu meningkatkan pendapatan ekonomi peserta,” katanya.
    Beliau turut menasihati pene­rima dividen agar menyimpan sebahagian wang dividen tersebut untuk kegunaan masa hadapan.
    Sementara itu, penerima dividen, Senik Mamat, 98, dari Kampung Baru Desa Jaya, Jeneri di sini berkata, dia bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas inisiatif pemberian dividen ini kepada pekebun kecil.
    “Wang dividen ini saya akan gunakan sebaik-baiknya dan mem­beli barangan keperluan sahaja ketika berbelanja.
    “Sebahagian akan digunakan untuk perbelanjaan persiapan hari raya manakala selebihnya saya akan simpan sebagai persedian menghadapi waktu kecemasan, apatah lagi saya kini semakin uzur,” kata Senik.
    Oleh : Norlia Ramli
    Sumber : Utusan