TULAR TUANKU ABDUL HALIM TIDAK BENAR



24tular
ALOR SETAR 24 Mei - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam keadaan sihat, bukannya gering seperti maklumat yang tular di WhatsApp, sejak kelmarin.
Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, pihaknya kesal dengan penyebaran mesej tersebut.
“Apa yang ditulis itu berita palsu. Alhamdulillah, Tuanku sihat dan kini berada di Istana Bukit Malut, Langkawi dan dijangka berangkat ke Istana Anak Bukit, Khamis ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pihaknya kesal kerana ini kali kedua pada tahun ini berita seumpama tular mengaitkan kesihatan Tuanku Abdul Halim.
“Khabar angin sebegini sudah beberapa kali berlaku, sebelum ini pada awal April tular konon Tuanku gering, kali ini tular konon nazak dan berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya kepada Sinar Harian.
Syed Unan tidak menolak kemungkinan masyarakat membuat andaian sendiri apabila Tuanku Abdul Halim tidak mencemar duli berangkat ke majlis rasmi, seperti Majlis Raja-Raja yang sedang berlangsung diwakili Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehhuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Sumber : Sinar