SL1M : 99,000 DAPAT KERJA



5mei
ALOR SETAR 5 Mei - Lebih 99,000 individu telah dibantu untuk menjalani latihan dan mendapatkan pekerjaan sejak Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) mula diperkenalkan pada Jun 2011 sehingga Disember tahun lalu.
Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff berkata, jumlah yang besar itu menunjukkan betapa program hasil cetusan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tersebut semenangnya membawa manfaat besar kepada rakyat.
“Setiap tahun peluang pekerjaan yang ditawarkan melalui SL1M sentiasa bertambah. Selain syarikat milik kerajaan (GLC) serta pelbagai agensi kerajaan, penglibatan syarikat-syarikat swasta turut meningkat.
“Melalui SL1M para siswazah tidak hanya berpeluang untuk 'makan gaji' malah mereka turut berpeluang menjalani latihan bagi mencari pengalaman atau belajar cara yang betul bagi menjadi seorang usahawan. Boleh saya katakan, peluang untuk maju sentiasa ada cumanya terpulang kepada individu itu sendiri sama ada benar-benar mahu berusaha dan berjaya atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah merasmikan Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Utara dan Festival Keusahawanan Industri Asas Tani 2017 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­nita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Fouzi Ali.
Sementara itu katanya, penganjuran program tersebut yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menawarkan 8,000 kekosongan pekerjaan yang ditawarkan oleh 60 syarikat serta agensi terlibat.
“Sebelum solat Jumaat, saya difahamkan jumlah kedatangan pengunjung sudah mencecah 4,000 orang malah ada antaranya dikatakan datang dari luar kawasan utara tanah air termasuk dari Kelantan semata-mata bagi mencari peluang terbaik untuk masa depan.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan