NAFI WUJUD PEMBALAKAN HARAM



7nafi
ALOR SETAR 7 Mei - Kerajaan negeri Kedah menafikan wujudnya aktiviti pembalakan haram di kawasan tadahan air di hutan simpan kekal Ulu Muda, Sik, yang didakwa telah menyebabkan ancaman kepada bekalan air di kawasan utara tanah air.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, sebaliknya, aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan tersebut ketika ini adalah berlesen dan mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan.
"Memang ada aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan tersebut namun ia dilakukan di luar rabung kawasan tadahan air di mana kawasan pembalakan adalah 12,484 hektar atau 30 peratus daripada kawasan keseluruhan Ulu Muda.
"Justeru, ingin saya menegaskan, kerajaan negeri memang memantau ketat aktiviti pembalakan yang berlaku di setiap kawasan di negeri ini dan tidak akan sesekali berkompromi dalam hal pembalakan yang akan menjejaskan alam sekitar," katanya kepada media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap di Hotel Grand Alora di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa pada 15 April lalu yang mendakwa aktiviti tersebut telah menjejaskan jumlah paras dan kualiti air di Empangan Muda yang berpunca dari Ulu Muda.
Badrol Hisham berkata Jabatan Perhutanan mengguna pakai kaedah pembalakan yang digunakan di seluruh Malaysia iaitu Sistem Pengurusan Memilih (SMS) dan mengikut garis panduan Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) serta Pembalakan Berimpak Rendah (RIL) bagi memastikan aktiviti pembalakan dijalankan dalam keadaan terkawal terutama di kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air.
"Sehingga kini, kita telah mengorbankan kawasan tadahan air daripada aktiviti pembangunan agar kawasan tersebut dapat menjamin bekalan air terawat kepada empat juta penduduk di wilayah utara dan kerajaan negeri tidak mendapat apa-apa bayaran malah terpaksa menanggung kos pemuliharaan.
"Jadi, kita tidak mahu lagi Pulau Pinang membuat kenyataan-kenyataan seperti itu. Kita tahu bagaimana hendak melindungi hutan dan sumber air kita dan sudah tentu kita menjaga sumber air mentah utama bagi negeri Pulau Pinang itu," katanya.
Dalam masa yang sama, Badrol Hisham juga meminta kerajaan negeri Pulau Pinang turut memberi komitmen dalam membantu mengekalkan paras air Sungai Muda dengan menjalankan kajian serta penambahbaikan dengan membaik pulih Ampang Jajar PBAPP.
Jelas Badrol Hisham, Cadangan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Muda dan Kajian Pembesaran Empangan Mengkuang menetapkan paras air Ampang Jajar adalah dua meter namun, yang ditampung Ampang Jajar hanyalah pada paras 1.55 meter.
Keadaan tersebut menyumbang kepada pembaziran air mentah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri Kedah dengan melepaskan sumber air berharga semata-mata untuk memenuhi kehendak pengguna terutama di Pulau Pinang.
"Jadi, kami mahu Pulau Pinang menimbangkan keberkesanan keupayaan Ampang Jajar PBAPP dan bukan semata-mata menyalahkan kerajaan negeri Kedah tanpa sama-sama mengambil tindakan untuk memulihkan keadaan terutama mengelakkan pembaziran berbilion meter padu air yang salirkan begitu saja ke laut untuk kepentingan bersama," katanya.
Sumber : Sinar