CATAT KES DENGGI 67.1 PERATUS



8catat
ALOR SETAR 8 Mei - Sejumlah 513 kes denggi dicatatkan di negeri ini sejak Januari hingga 16 Mei lalu iaitu peningkatan sebanyak 206 kes berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, sebanyak lapan daerah menunjukkan peningkatan kes sekali gus menyumbang kepada pertambahan kes sebanyak 67.1 pe­ratus untuk tahun ini.
“Kes terbanyak dari daerah Kuala Muda iaitu 189 kes, namun Kulim menunjukkan peningkatan tertinggi dengan pertambahan 83 kes iaitu 131 kes berban­ding 48 kes tahun lalu.
“Daerah lain yang merekodkan pertambahan kes adalah Kubang Pasu, Langkawi, Sik, Padang Te­rap, Bandar Baharu dan Baling,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, terdapat dua daerah menunjukkan penurunan iaitu Pendang cuma mencatat enam kes berbanding 11 kes pada 2016 dan Yan merekodkan empat kes tahun ini berbanding enam kes pada tahun lalu.
Daerah Kota Setar pula, katanya, mencatat bilangan kes yang sama seperti tahun lalu iaitu 27 kes.
Katanya, ketika ini terdapat lapan lokaliti wabak demam denggi yang aktif di Kuala Muda iaitu di Zon D Taman Keladi, Taman Kempas, Taman Berlian, Taman Muhibah, Zon E Taman Sejati Indah, Zon 1 Taman Ria Jaya, Kampung Huma dan Taman Berangan sementara terdapat satu lokaliti di Kulim iaiu di Taman Kangkong 1.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan terdapat 128 kes chikungunya dilaporkan di ne­geri untuk tempoh masa sama.
“128 kes ini dilaporkan dalam tiga daerah iaitu 58 di Kuala Muda, 69 di Baling dan satu di Kulim. Begitu pun ketika ini wabak tersebut tamat di Baling dan Kulim serta tiada lokaliti wabak aktif di kedua-dua daerah tersebut.
“Di Kuala Muda, terdapat empat lokaliti wabak aktif iaitu di Zon F Taman Ria Jaya mencatatkan empat kes, Taman Berangan (tiga kes), Zon 5 Taman Ria (enam kes) dan Zon 4 Taman Ria (empat kes).
Selebihnya, katanya, 17 kes chikugunya dilaporkan itu merupakan kes terpencil iaitu kes berasingan dan tidak mempunyai kaitan dengan lokaliti wabak.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan