PERCEPATKAN BINA ICQS BUKIT KAYU HITAM



13percepatkan
KUBANG PASU 13 April – Kelewatan pemaju menyiapkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kua­rantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam baharu yang sudah tertangguh selama 576 hari, mengundang campur ta­ngan kerajaan sehingga menarik kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meninjau perkembangannya hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, dalam lawatannya itu beliau mengarahkan supaya pembinaan tersebut dipercepatkan dengan fasa pertama perlu disiapkan menje­lang Ogos depan sementara fasa kedua yang melengkapkan kompleks tersebut harus disempurnakan pada 31 Disember 2018.
“Kewujudan ICQS ini adalah sesuatu yang cukup penting bagi melaksanakan dasar logistik baharu negara untuk meningkatkan peranan Malaysia dalam sistem logistik bagi negara-negara Asean, khususnya Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
“Kita rasa 'terpukul' apabila Thailand sudah pun me­nyiapkan ICQS mereka sedangkan pembinaan di sebelah kita terlewat untuk tempoh yang lama. Di­sebabkan itu saya akan kembali semula ke sini dalam tempoh 45 hari bagi sekali lagi melakukan pemantauan sebelum menghantar laporan mengenainya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Majlis Ekonomi Negara dan Majlis Eksport Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut disertai timbalannya, Datuk Nur Jazlan Mohamed serta Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharom sebelum me­nerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Udomdej Sitabutr di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) di sini.
Difahamkan setakat ini pembinaan keseluruhan ICQS tersebut yang mula dibina pertengahan 2014 menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI), baru disiapkan sebanyak 26.7 peratus dengan fasa pertama melibatkan laluan masuk kenderaan dari Thailand ke negara ini hanya 45.9 peratus siap.
Bagi memastikan projek tersebut siap pada waktu ditetapkan, pihak pemaju menambah jumlah pekerja melibatkan 600 individu selain kerja-kerja pembinaan dilanjutkan selama 14 jam sehari termasuk pada waktu malam.
Mengulas lanjut kata Ahmad Zahid, apabila fasa pertama itu disiapkan, pihak-pihak terlibat akan menjalankan ujian pengoperasian dalam tempoh sebulan sebelum membuka laluan tersebut untuk digunakan secara bersama oleh kenderaan yang ingin keluar dan masuk ke negara ini sementara menanti laluan di fasa kedua disiapkan.
“Kompleks ICQS tersebut melibatkan operasi 19 jabatan diketuai imigresen dengan di­bantu oleh kastam serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang mana mereka ini akan bekerja bersandarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) baharu ditetapkan Majlis Ke­selamatan Negara (MKN).
“Para pegawai dan anggota jabatan tertentu akan bertukar setiap tiga bulan supaya tidak lagi berlaku ketirisan seperti ada individu yang boleh keluar dan masuk dengan sekadar me­ngangkat tangan. Kelengkapan disediakan juga terdiri daripada peralatan moden termasuk penggunaan alat pengimbas oleh Kastam bagi menggantikan pemeriksaan manual yang dijalankan kini,” katanya.
Sumber : Utusan