MADA PERKENAL DRONE



1mada
JERLUN 1 April - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bakal mencatat sejarah sebagai agensi pertama di negara ini yang memperkenalkan penggunaan drone secara komersial dan besar-besaran bagi sektor penanaman padi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, teknologi tersebut bakal digunakan pada musim pertama penanaman untuk tahun ini melibatkan kawasan Projek Estet Padi MADA seluas 2,000 hektar.
"Setakat ini MADA menerusi anak syarikatnya, MADACorp Sdn. Bhd. mempunyai enam drone agrikultur yang akan digunakan bagi kerja-kerja menyembur racun.
"Saya difahamkan penggunaan drone dapat mengurangkan masa sehingga 20 peratus berbanding kaedah meracun biasa. Selain itu penggunaan racun juga dapat dijimatkan sehingga 30 peratus," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jom Turun Bendang 2017 di Kampung Siputeh, Padang Sera di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz yang juga Pengerusi MADA; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ismail Bakar serta Timbalan Setiausaha (Pemba­ngunan) kementerian, Badrul Hisham Mohd.
Mengulas lanjut Ahmad Shabery berkata, penggunaan drone tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk memperkenalkan pertanian secara tepat dan jitu seperti yang diamalkan di negara-negara maju bagi memastikan para petani mampu memiliki hasil yang lebih lumayan.
Diminta mengulas bantahan sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan penggunaan drone atas faktor kesihatan dan pengurangan tenaga kerja, Ahmad Shabery berkata pihaknya bersedia mendengar panda­ngan daripada mana-mana pihak termasuk mereka yang pakar dalam aspek kesihatan sebelum teknologi tersebut diperluaskan ke seluruh negara.
"Tentang kesihatan manusia dan ancaman kepada mana-mana hidupan, itu kita tak boleh berkompromi namun saya difahamkan drone agrikultur ini tidaklah terbang setinggi drone yang digunakan untuk mengambil gambar sebaliknya hanya terbang setinggi dua meter sekali gus membolehkan penyebaran racun dikawal.
"Selain itu jumlah racun digunakan juga tidak sebanyak seperti digunakan dalam proses meracun secara konvensional. Bagaimanapun, kami bersedia mendengar pandangan daripada semua pihak selain bertemu petani untuk memberi penerangan dan memberi latihan penggunaan drone," katanya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, perancangan awal MADA untuk melakukan pembenihan menerusi kaedah tabur terus kering tidak akan diteruskan dengan para petani diminta untuk melakukan pembenihan seperti biasa bagi musim ini.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan