LOJI AIR SIAP NOVEMBER




    3logi
    POKOK SENA 3 April - Penduduk Pokok Sena kini mampu menarik nafas lega apabila loji rawatan air Syarikat Air Darul Aman (Sada) di Jabi, di sini dijangka siap pada November nanti.
    Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, loji rawatan yang mula dibina pada 2016 itu akan memberi manfaat kepada 13,000 penduduk di Pokok Sena, utara Pendang dan selatan Padang Terap terutamanya di kawasan tekanan rendah.
    Sebelum itu penduduk Pokok Sena terpaksa berkongsi loji air dengan penduduk Alor Setar di Bukit Pinang yang berkapasiti hanya 20 juta liter air dan ini sudah pasti menimbulkan pelbagai masalah penggunaan air di daerah itu.
    "Kini apabila loji rawatan air di Pokok Sena siap ia mampu menampung sebanyak 30 juta liter sehari, air dari loji ini akan terus disalurkan kepada tangki utama yang terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dan seterusnya membekalkan kepada penduduk di daerah ini.
    “Loji air di Bukit Pinang tidak mampu lagi menampung keperluan penduduk di Pokok Sena dan Alor Setar apatah lagi pertambahan penduduk semakin meningkat. Masalah itu kian terasa terutamanya menjelang musim perayaan dan cuti umum hingga Sada terpaksa menghantar air ke rumah yang menghadapi masalah bekalan air selama ini.
    “Oleh itu dengan bantuan kerajaan persekutuan, Sada telah membina loji bernilai RM54 juta bagi menyelesaikan masalah air di daerah ini dan berharap dapat beroperasi seawal -awalnya sebelum Aidilfitri nanti,” katanya semasa membuat lawatan turun ke padang di tapak loji rawatan air di Jabi semalam.
    Tambahnya lagi, selepas loji itu beroperasi beliau akan mengarahkan Sada supaya memeriksa sistem paip lama yang menjadi antara punca berlakunya masalah bekalan air di situ.
    Oleh : Md Rifaat Hamid
    Sumber : Sinar