JALAN RUNTUH AKIBAT BANJIR



4jalan
KUALA KETIL 4 April - Sebahagian struktur jalan Kampung Tandop Pisang, di sini, runtuh dalam kejadian banjir yang menyebabkan bahagian bawah laluan itu terhakis, Khamis lalu.
Pengguna, Tarmizi Ahmad, 51, berkata, jalan itu turut digunakan penduduk Kampung Sungai Tembak, Charok Salang dan Parit Panjang untuk ke beberapa lokasi utama.
“Cuaca tidak menentu, keadaan jalan semakin teruk. Hanya motosikal boleh melaluinya menggunakan titi sementara,” katanya.
Menurutnya, penduduk yang tinggal di kawasan bersebelahan terpaksa menggunakan laluan sejauh tiga kilometer sekiranya mahu ke pekan Parit Panjang.
“Malah jalan yang rosak dibiarkan tanpa dipasang tanda amaran dan ini membahayakan pengguna,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati belum ada kerja membaik pulih daripada pihak berwajib.
Pengguna, Mohd Fitri Baharom, 22, berkata, jalan tersebut perlu segera dibaiki susulan seorang penduduk pernah terjatuh ketika menggunakan titi sementara itu.
“Kejadian itu berlaku Jumaat lalu, individu tersebut bagaimanapun diselamatkan penduduk dan hanya mengalami kecederaan pada bahagian siku,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Amir Othman, 22, berkata, dia terkejut melihat tahap kerosakan jalan tersebut.
“Kali terakhir saya guna jalan ini sekitar seminggu lalu, hari ini keadaannya jauh berbeza.
"Sebelum perkara tidak diingini berlaku, diharap pihak berwajib segera ambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof berkata, penduduk disarankan melaporkan masalah tersebut kepada pejabat daerah untuk diambil tindakan.
“Pejabat daerah pula diharap segera membaiki kerosakan yang berlaku, jangan biar rakyat tertanya-tanya,” katanya.
Oleh : Muhammad Amar Mubassyir
Sumber : Sinar