TEKSI HARAM JEJAS PENDAPATAN



6teksi
SUNGAI PETANI 6 Mac - Kira-kira 400 pemandu teksi berdaftar di bandar ini berdepan kekangan akibat beberapa masalah yang dihadapi termasuk pendapatan terjejas akibat kewujudan teksi haram yang beroperasi sehingga awal pagi.
Pemandu, Lim Hock Seng, 61, berkata, dia yang berpengalaman membawa teksi selama 36 tahun di Sungai Petani telah melalui pelbagai fasa perubahan termasuklah berdepan teksi haram atau teksi sapu yang mengambil penumpang tanpa permit.
Menurutnya, pertambahan bilangan pemandu teksi berdaftar juga menjadikan skop pekerjaan pemandu teksi lebih mencabar menyebabkan dia mengambil keputusan membawa penumpang dari Sungai Petani ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang kira-kira 10 tahun lalu tanpa mengharapkan penumpang di sini semata-mata,” katanya.
Beliau ditemui ketika turut hadir sempena Majlis Santai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama pemandu teksi dan masyarakat setempat Sungai Petani di Stesen Teksi, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Koperasi Pengusaha Pengangkutan Awam Kuala Muda Bhd, A Wahab Salikon, 70, berkata, beberapa rungutan dibangkitkan termasuklah bantuan kerajaan kepada rakyat yang memfokuskan kepada pemandu teksi sepertimana manfaat yang disampaikan kepada golongan lain.
“Kami juga mahukan elaun daripada kerajaan seperti one off atau seumpamanya. Begitu juga cadangan menaik taraf stesen teksi dan menyediakan papan tanda bagi kemudahan pelancong.
“Kami juga mencadangkan kerajaan memaksimumkan perhentian bas di mana setiap perjalanan ke selatan dicadangkan boleh menurunkan penumpang di stesen teksi seperti sebelum ini,” katanya.
Bagi memberi kemudahan terbaik buat penduduk setempat dan pengunjung luar, pemandu teksi juga berharap pihak berkenaan memberikan kerjasama dari segi penguatkuasaan terhadap aduan dikemukakan mereka agar perkhidmatan dapat disediakan dengan baik dan memuaskan.
Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, masalah yang dikemukakan pemandu teksi akan diperbincangkan dengan pihak berkaitan agar penyelesaian yang menguntungkan semua pihak dapat diambil.
Sumber : Sinar