LANGKAH TEPAT PILIH SUNGAI PETANI




    27langkah
    SUNGAI PETANI 27 Mac - Sungai Petani merupakan bandar kedua terbesar di negeri ini yang berdepan masalah pencemaran serius di sungai yang menjadi nadi kepada sistem saliran bandar ini.
    Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Kamal Mustapha berkata, antara punca pencemaran yang dikenal pasti ialah pencerobohan rizab sungai, sistem kumbahan yang kurang baik, pembuangan sisa minyak kenderaan dari bengkel ke dalam longkang.
    “Masalah pembuangan sampah sarap, pembukaan tanah tanpa kawalan serta pembuangan sampah terus ke dalam sungai turut boleh menjejaskan pertumbuhan Bandar Sungai Petani,” katanya semalam.
    Kamal berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian serius selaras dengan perancangan kerajaan untuk mewujudkan bandar bersih dan indah, rakyat yang sihat serta cergas.
    Menurutnya, pemilihan bandar itu sebagai lokasi Program Kesedaran Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri anjuran JPS Kedah adalah langkah tepat.
    Beliau berkata, Sungai Petani sepanjang 12 kilometer itu adalah sub lembangan Sungai Merbok di mana ia mempunyai kawasan tadahan seluas 37.5 kilometer persegi di Kuala Muda.
    "Sungai itu dipilih sebagai projek perintis pengurusan lembangan sungai secara bersepadu di negeri ini di bawah program Satu Negeri, Satu Sungai pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) lalu," katanya kepada Sinar Harian.
    Menurutnya, program kesedaran itu juga bertepatan kerana pertumbuhan pembangunan yang pesat di kawasan Sungai Petani.
    Tambahnya, hasil daripada pelaksanaan program kesedaran alam sekitar seperti itu sehingga tahun 2015 membantu meningkatkan kualiti air Sungai Petani daripada kelas IV (keempat) meningkat kepada kelas II/III (dua, tiga).
    Justeru itu katanya, usaha itu tidak dapat diteruskan dan direalisasikan oleh JPS sahaja tanpa kerjasama daripada pelbagai agensi berkaitan.
    “Untuk kali ini program bertemakan ‘water & wastewater’ akan dirasmikan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim.
    “JPS Kedah berkolaborasi dengan jabatan dan agensi lain secara langsung atau tidak langsung dengan sumber air, antaranya Lembaga Sumber Air Negeri (LSAN), Jabatan Alam Sekitar Negeri, serta Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).
    “Agensi lain turut terlibat termasuklah, Jabatan Perhutanan Negeri, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) serta Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada),” katanya.
    Sumber : Sinar