TINGGAL LIMA AL-QURAN BERCONTENG



21tinggal
KULIM 21 Februari - Seorang pembantu tadika terkejut apabila terdapat kesan contengan kekecewaan pada helaian pertama lima naskhah al-Quran yang ditulis dalam huruf jawi dan rumi.
Shaharom Aman, 54, berkata, al-Quran itu dipercayai ditinggalkan seorang wanita yang datang ke masjid berkenaan ketika dia sedang memasak makanan tengah hari untuk kanak-kanak tadika di bahagian belakang.
Menurutnya, dia hanya mengetahui ada seorang wanita datang menghantar al-Quran selepas dimaklumkan kanak-kanak yang sedang belajar di kaki lima masjid.
“Lebih kurang 10 pagi semalam (kelmarin), saya dengar juga bunyi motosikal masuk ke pekarangan masjid. Saya nampak seorang wanita lingkungan 30-an galas beg dan peluk sesuatu masuk ke dalam masjid menggunakan pintu depan. Tapi masa tu saya tak fikir apa-apa dan teruskan memasak.
“Budak-budaklah yang beritahu wanita itu datang letak al-Quran. Mereka dapat lihat melalui cermin sebelah jemaah wanita yang tak begitu gelap. Kemudian saya pun terpandang kelibat wanita itu, tak sampai lima minit, terdengar pula bunyi motosikal keluar dari perkarangan masjid,” katanya.
Menurut Shaharom, kira-kira jam 12.30 tengah hari, dia bersama guru dan kanak-kanak terbabit masuk ke dalam masjid untuk meneruskan kelas Pendidikan Islam.
“Saya tergerak hati nak tengok lima al-Quran yang disusun sederet dengan naskhah lain. Bila buka, terus nampak tulisan yang sangat mengelirukan.
“Saya tak puas hati dan terus periksa naskhah lain. Saya dapati lima naskhah diconteng dengan tulisan rumi dan jawi, ayatnya juga sangat pelik,” katanya.
Sementara itu, Imam, Jamaludin Omar, 66, berkata, dia telah menerima aduan daripada pembantu tadika itu berhubung kejadian tersebut.
"Kita percaya ia bukan hak milik masjid, sebaliknya ditinggalkan wanita itu. Kita juga bimbang sebab tulisan yang kita baca sangat mengelirukan dan menimbulkan keraguan.
“Hasil pemeriksaan mendapati ada juga pelekat Barbie dan manik. Muka surat lain ak diconteng, bahagian depan saja. empat naskhah al-Quran telah diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah dan satu lagi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Oleh : Jamilah Hamzah
SUmber : Sinar