NASIB NABIL DAPAT PERHATIAN



15nasib
YAN 15 Februari - Kegembiraan seorang ibu tidak dapat digambarkan apabila nasib anaknya yang mengalami kelumpuhan otak atau Celebral Palsy Spastic Quadriplegia sejak lahir mendapat perhatian banyak pihak selepas disiarkan dalam Sinar Harian, baru-baru ini.
Norhasniza Abd Ghani, 32, berkata, dia tidak sangka masih ramai lagi masyarakat bersifat pemurah dan prihatin meskipun tidak pernah mengenali keluarganya.
“Selepas disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 10 Februari lalu, ramai yang menghubungi saya bertanya khabar dan ingin mengetahui keadaan anak.
“Rasa sebak bila menerima panggilan tidak henti-henti bertanyakan keadaan anak. Syukur alhamdulillah .. itu sahaja yang mampu saya ungkapkan,” katanya ketika ditemui.
Anaknya, Muhammad Nabil Mohd Firdaus, 5, tidak dapat bergerak seperti kanak-kanak lain dan sentiasa memerlukan perhatian penuh ibunya.
Muhamad Nabil juga dikatakan turut menghidap penyakit lain iaitu ‘Laryngomalacia’ atau masalah pernafasan kronik selain pedih hulu hati tahap empat.
Norhasniza juga berkata, dia berasa sangat gembira apabila terdapat seorang sukarelawan dari Perak sanggup membelikan mesin susu yang berharga RM3,000 untuk anaknya.
“Mesin itu sudah di pos dan insya-ALLAH akan sampai dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya lagi, dia sendiri tidak mampu untuk membalas jasa orang ramai dan berharap mereka akan terus mendoakan anaknya agar sembuh seperti kanak-kanak lain.
Menurutnya, antara yang hadir melawat anaknya ialah Badan Perhubungan Pas Kedah dan lebih lapan orang yang datang secara berseorangan menyampaikan sumbangan antaranya barangan dan duit.
Oleh : Norjuliana Yaacob
Sumber : Sinar