KENAIKAN HARGA HANYA SEMENTARA



21kenaikan
SUNGAI PETANI 21 Februari - Kenaikan harga hasil laut hanyalah sementara dan keadaan ini diharapkan akan pulih dengan segera berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin berkata, pihaknya mengakui ada berlaku kenaikan harga hasil laut, baru-baru ini.
Menurutnya, bukan setakat ikan kembung yang tiada bekalan, hasil laut seperti sotong juga didapati tiada bekalan di beberapa negeri seperti di Pantai Timur.
“Masalah ini berlaku khususnya di negeri-negeri terletak di sebelah Utara , berpunca daripada faktor cuaca tidak menentu di mana nelayan menghadapi kesukaran mendapatkan hasil tangkapan.
“Apabila bekalan tidak cukup dan permintaan meningkat, sudah tentulah berlaku peningkatan harga. Ia adalah satu isu sementara dan berharap keadaan bekalan ini akan kembali pulih,” katanya selepas mengadakan lawatan pemeriksaan harga di Pasaraya C-Mart, Amanjaya Mall, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu harga ikan temenung atau kembung segar yang dijual di Kuala Muda, di sini, sejak beberapa minggu lalu mencecah RM20 sekilogram (kg) berikutan kekurangan bekalan.
Difahamkan, harga ikan itu dijangka terus meningkat sehingga RM25 sekilogram berikutan monsun timur laut yang sedang melanda kini akan berlarutan sehingga April sekali gus menyebabkan ramai nelayan bimbang ke laut untuk menangkap ikan berikutan angin kencang dan ribut.
Katanya lagi, pihaknya juga sudah berbincang dengan agensi atau jabatan yang terlibat menjaga hal ehwal perikanan berikutan kekurangan bekalan dan kenaikan harga secara mendadak.
“Saya berharap fenomena ini bersifat sementara sahaja, apabila bekalan cukup maka harga akan turun ke harga asal yang lebih munasabah,” katanya.
Sumber : Sinar