GALAK LEBIH RAMAI DAFTAR E-REZEKI



16galak
KUBANG PASU 16 Februari - Kerajaan negeri mahu menggalakkan penduduk dengan pendapatan isi rumah di bawah RM4,000 sebulan berdaftar dengan e-Rezeki sebagai salah satu usaha untuk menjana pendapatan tambahan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi serta Sumber Manusia negeri, Datuk Norsabrina Mohd. Noor berkata, sehingga tahun lalu dianggarkan hanya 8,900 rakyat di negeri ini mendaftar dengan program dikendalikan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) tersebut dan jumlah itu dianggap masih terlalu rendah.
“Di negeri ini, lebih 40 peratus daripada 2.3 juta rakyat Kedah mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 bagi seisi rumah, namun yang mendaftar tidak sampai pun 10,000 individu dan jelas itu adalah jumlah yang terlalu sedikit.
“Sedangkan program ini terbukti berjaya meningkatkan pendapatan mereka yang berdaftar dengan saya difahamkan, lebih RM28 juta sudah dijana di seluruh negara. Disebabkan itu di Kedah, kami mahu membantu mempromosikan kempen tersebut serta program e-Rezeki di bawahnya terutamanya di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Bengkel e-Rezeki #youcanduit di Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas), Jitra di sini semalam.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Transformasi Digital Kedah, Datuk Azaddin Abdul Aziz dan Pengarah Pengupayaan Komuniti B40 MDEC, Darzy Norhalim serta Timbalan Pengarah Akademik Polimas, Bakri Baharom.
Seramai 700 individu terdiri daripada pelajar Polimas serta penduduk sekitar menghadiri program tersebut dengan mereka diberi pemahaman serta berpe­luang untuk bertanya apa jua soalan mengenai program itu daripada wakil MDEC serta individu-individu yang telah me­raih kejayaan menerusi program berkaitan.
Mengulas lanjut Norsabrina berkata, bagi memastikan hasrat itu menjadi kenyataan, kerajaan negeri kini giat mengatur siri jelajah untuk kempen berkenaan di seluruh IPT di negeri ini.
“Beberapa program juga akan dilaksanakan bagi memastikan inisiatif ini sampai kepada penduduk di luar bandar.
“Kami akan mengatur kerjasama dengan beberapa pihak seperti Pusat Internet 1Malaysia, pusat internet desa serta perpustakaan di luar bandar bagi menarik minat lebih ramai individu untuk mendaftar,” katanya.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan