KEDAH PELAWA SYARIKAT SUMBANG BIASISWA




    18pelawa
    ALOR SETAR 18 Januari - Kerajaan Kedah mempelawa syarikat korporat mahupun orang perseorangan menyalurkan sumbangan kepada 'Tabung Lembaga Biasiswa Kerajaan Negeri' agar lebih ramai pelajar negeri ini dapat dibantu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
    Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, oleh kerana kekangan kewangan, menyebabkan jumlah pinjaman yang diberi terpaksa dihadkan dan ditolak.
    "Biasiswa ini kami mahu supaya diperbanyakkan dana...kali ini saya nak kumpulkan sumbangan daripada pihak swasta yang mungkin dapat memberi banyak sumbangan kepada kerajaan.
    "Jadi kalau (sumbangan) banyak, banyaklah kami bagi pinjaman dan bila mereka berjaya mendapat pointer yang ditetapkan kita mungkin boleh tukar kepada biasiswa seperti PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional," katanya kepada pemberita sempena perutusan Khas Menteri Besar Kedah 2017.
    Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, Kedah akan mengeluarkan pekeliling bagi melarang pegawai tinggi jabatan dan agensi kerajaan bermain golf di luar negara ataupun pakej bermain golf bersama kontraktor, pembekal atau orang berkepentingan semasa waktu pejabat.
    "Walaupun riadah itu perlu, namun hari bekerja tak payah lah, jadi janganlah bawa kontraktor pi main semua-semua ni. Ikutlah arahan apa yang diberi teguran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
    Ahmad Bashah berkata, tindakan itu bagi menjaga integriti jabatan dan kerajaan.
    Sebelum itu, beliau dalam ucapan perutusan khasnya berkata, kerajaan negeri akan terus komited bersama kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat melalui peningkatan ekonomi sama ada berskala kecil atau besar.
    Antaranya memperbanyakkan lagi aktiviti perdagangan melalui Kedah FEST 2017 agar lebih banyak produk dihasilkan dan diketengahkan di pasaran.
    "Jika dulu selepas habis menuai dan penghujung tahun, masyarakat mengadakan funfair atau Pesta Kedah untuk hiburan, namun kita akan menghidupkan semula funfair ini yang dijenamakan semula kepada Kedah FEST dengan menarik lebih ramai peniaga kecil dan sederhana terutama bumiputera," katanya.
    Selain itu, kemudahan dan perkhidmatan kerajaan akan ditambah baik agar segala urusan dipermudahkan.
    Ahmad Bashah berkata, selain itu dengan mengambil kira aspirasi masyarakat di negeri ini, gerak kerja berkebajikan menerusi Skim Barakah diperhebatkan dengan sasaran 50,000 penerima melalui komponen Barakah Insan, Kemasyarakatan, Pendidikan, Usaha Niaga dan Anak Muda.
    Untuk peringkat permulaan, 23,000 penerima dikenal pasti bagi diberi bantuan sekali sahaja kotak makanan mulai bulan ini yang agihan disalurkan menerusi Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Penyelaras Dun di kawasan masing-masing.
    Dalam pada itu, sejumlah RM16.6 juta disediakan bagi menaik taraf Maktab Mahmud, Maahad Tahfiz Sains Darul Aman di Kulim, sekolah agama, masjid dan surau di seluruh negeri selain peruntukan kepada semua pelajar asrama sekolah agama rakyat bertujuan mengurangkan bebanan ibu bapa.
    Sumber : Sinar